Gotong-royong, masyarakat bertambah sejahtera

Gotong-royong, masyarakat bertambah sejahtera

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 23 Okt – Kehidupan masyarakat akan bertambah sejahtera melalui amalan gotong-royong kerana sikap bertanggungjawab dan tolak ansur dapat dipupuk melalui aktiviti tersebut.

‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ adalah dasar gotong-royong. Justeru itu, semangat bergotong-royong sedemikian rupa telah diungkayahkan oleh Majlis Perundingan Kampung Puni dan Ujung Jalan.

Hadir merasmikan gotong-royong di kawasan Balai Raya Kampung Puni tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad. Menurut Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin, amalan bergotong-royong dapat meringankan kerja-kerja yang hendak dilakukan.

“Sesuatu kerja yang berat seperti yang diungkayahkan hari ini dapat dilakukan dengan mudah,” katanya ketika ditemui di Program Gotong-Royong membersihkan kawasan Balai Raya Kampung Puni, Daerah Temburong di sini.

Katanya, gotong-royong juga dapat menjimatkan masa serta wang ringgit, apabila sekumpulan anggota masyarakat khususnya ahli jawatankuasa MPK/MPM melakukan sesuatu kerja bekerjasama dan sukarela sekali gus dapat menyemai benih-benih perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Budaya gotong-royong ini harus dipupuk sejak kecil lagi dalam diri setiap insan. Ini akan mewujudkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab, ujarnya.

Turut menyertai program tersebut ialah ahli jawatankuasa MPK Kampung Puni serta penduduknya dan Kampung Ujung Jalan.

ARTIKEL YANG SAMA