Gotong-royong potong pokok tinggi

Gotong-royong potong pokok tinggi

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 11 Sept – Lebih 40 orang dalam kalangan sukarelawan dan penduduk STKRJ Kampung Mumong bergotong-royong memotong beberapa batang pokok kayu besar yang tumbuh semakin tinggi di kawasan Jalan Derma Wangsa kampung tersebut di sini, hari ini.

Ketua Kebajikan Kemasyarakatan Majlis Perundingan Mukim Belait, Pengiran Haji Mohd Yusof bin Pengiran Haji Abas yang mengetuai projek itu memberitahu Media Permata,  sebanyak 10 batang pokok kayu telah ditebang ekoran terdapatnya aduan daripada penduduk kampung yang khuatir pokok-pokok berkenaan akan tumbang terutama semasa cuaca angin kencang.

Menurutnya, orang kampung terutama mereka yang tinggal berdekatan dengan pokok-pokok yang semakin meninggi itu membuat aduan, setiap kali angin kencang, mereka merasa bimbang pokok akan tumbang dan menimpa rumah mereka yang berdekatan, yang dikhuatiri turut membahayakan nyawa atau harta benda.

“Kebimbangan daripada orang kampung ke atas pokok-pokok itu sudah lama, dan mereka juga ada yang pernah memohon kepada pihak berkenaan untuk memotongnya beberapa tahun yang lalu.

Lebih 40 orang menyertai projek gotong-royong menebang pokok besar di kawasan STKRJ Kampung Mumong.
Lebih 40 orang menyertai projek gotong-royong menebang pokok besar di kawasan STKRJ Kampung Mumong.
Gambar ramai Pengiran Haji Mohd Yusof (empat dari kanan) dan Haji Pungut bersama antara sukarelawan yang terlibat menjayakan projek menebang pokok besar yang dianggap boleh membahayakan penduduk.
Gambar ramai Pengiran Haji Mohd Yusof (empat dari kanan) dan Haji Pungut bersama antara sukarelawan yang terlibat menjayakan projek menebang pokok besar yang dianggap boleh membahayakan penduduk.

“Sehubungan itu, secara inisiatif kami telah menemui beberapa agensi kerajaan untuk mendapatkan kebenaran melakukan kerja-kerja pemotongan pokok-pokok tersebut secara sukarelawan,” katanya.

Projek berkenaan juga telah disertai sama oleh Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali, wakil-wakil dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Jabatan Bandaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, beberapa buah persatuan dan badan-badan NGO termasuklah Canang Citra Event Managemant, Sutera, dan sebagainya.

Selain itu, terlibat sama ialah Syarikat Haji Yacob Taharuddin yang turut menyediakan tenaga kerja serta alat-alat keperluan memotong pokok.

Antara kerja yang turut dilakukan termasuk memotong dahan-dahan pokok yang sudah mati dan membersihkan kawasan berkenaan, yang dilakukan sejak kira-kira pukul 7 pagi.

ARTIKEL YANG SAMA