GP Bahrain: Hamilton kuasai petak pertama

GP Bahrain: Hamilton kuasai petak pertama

MANAMA, Bahrain, 3 April (Reuters) – Pelumba Formula Satu (F1) Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton memecahkan rekod terpantas sepusingan di Litar Sakhir, di sini untuk menguasai petak pertama perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain, sebentar tadi.

Pelumba kelahiran Britain yang juga juara dunia tiga kali itu melakukan catatan 1 minit 29.493 saat, mengatasi rakan sepasukannya, Nico Rosberg dengan kelebihan 0.077 saat.

Ia petak pertama kedua berturut-turut buat Hamilton selepas turut mengungguli petak pertama di perlumbaan pembukaan GP Australia, bulan lalu namun terpaksa berpuas hati setelah menamatkan perlumbaan di kedudukan tempat kedua.

Ferrari yang dianggap pencabar paling berbahaya Mercedes musim ini mengekalkan petak ketiga dan keempatnya buat dua pusingan berturut-turut menerusi Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen.

Pelumba Red Bulls, Daniel Ricciardo mencatat masa kelima terpantas diikuti pelumba Williams dari Finland, Valtteri Bottas keenam dan seorang lagi pelumba Williams, Felipe Massa, ketujuh.

Aksi Hamilton kepada penyokongnya selepas berjaya menguasai petak pertama di F1 GP Bahrain semalam. – Reuters
Aksi Hamilton kepada penyokongnya selepas berjaya menguasai petak pertama di F1 GP Bahrain semalam. – Reuters

Nico Hulkenberg dari pasukan Force India kelapan, diikuti pelumba pasukan Haas, Romain Grosjean menghuni petak kesembilan manakala pelumba Toro Rosso, Max Verstappen melengkapkan kedudukan 10 terbaik.

Sesi kelayakan di GP Bahrain kembali kepada format lama selepas format baru yang diperkenalkan di Australia tidak berakhir seperti diharapkan.

Hamilton ketika ini memburu kemenangan ketiga berturut-turut GP Bahrain manakala Rosberg, yang menang perlumbaan pertama di Melbourne memasang cita-cita untuk meraih kemenangan kelima berturut-turut.

Sementara itu di Argentina, juara dunia dua kali, Marc Marquez terselamat daripada masalah yang dihadapinya untuk meraih petak hadapan pada Grand Prix (GP) Argentina, awal pagi tadi.

Pelumba Sepanyol itu yang memenangi gelaran juara di litar Rio Hondo pada 2014 dua kali terpaksa keluar daripada litar tetapi kembali bangkit untuk mencatat masa terpantas 1 minit 39.411 saat bersama jentera Honda.

ARTIKEL YANG SAMA