Grace sasar kemenangan berturut-turut

JOHANNESBURG, 12 Jan – Branden Grace memulakan kempen meraih kejuaraan berturut-turut dalam Jelajah Eropah di laman sendiri apabila mendahului bersama dengan catatan 65 pada Terbuka Afrika Selatan di Kelab Golf Glendower dekat Johannesburg, pada kelmarin.

Pemain berusia 29 tahun yang memenangi lapan kejuaraan dalam jelajah itu mengungguli kejohanan Cabaran Golf Nedbank di Sun City dua bulan lalu, penampilan terakhirnya dalam jelajah itu.

Grace, yang menghuni ranking ke-30 dunia, berkongsi kedudukan pertama dengan tujuh bawah par bersama pemain Amerika Syarikat (AS), Chase Koepka, adik juara Terbuka AS Brooks.

Kedua-duanya mendahului satu pukulan di depan Chris Pailey dari England selepas hari yang melegakan pegawai apabila ramalan ribut petir tidak menjadi kenyataan. Daripada lima bekas pemenang kejuaraan utama dalam saingan, pemain Afrika Selatan, Retief Goosen dan Charl Schwartzel muncul yang terbaik dengan 69.

Warga senegara Ernie Els mencatat 71, pemain Kanada, Mike Weir 73 manakala Trevor Immelman dari Afrika Selatan melakukan 79 di lapangan par-72 itu.

Gambar fail pada 14 Oktober 2017 menun-jukkan Grace membuat pukulan semasa pusingan ketiga kejohanan golf CIMB Classic 2018 di Kuala Lumpur. – AFP

Juara bertahan Graeme Storm dari England, yang mengalahkan bintang golf Rory McIlroy dari Ireland Utara menerusi kemenangan play-off tahun lalu untuk memenangi kejohanan kebangsaan kedua tertua selepas Terbuka British, merakam 75.

Grace dari Afrika Selatan, beraksi tidak menentu pada sembilan lubang pertama dengan dua eagle, dua birdie dan dua bogey. Namun dia lebih tenang pada sembilan lubang kedua dengan satu birdie dan satu lagi eagle, rekod tiga eagle dilakar Grace sepanjang pusingan Jelajah Eropah.

“Beberapa pukulan wedge saya agak berkarat tapi secara keseluruhan saya berpuas hati,” kata Grace.

“Saya fikir ia satu permulaan baik tahun ini. Di semua parlima, saya melakukan pukulan tee yang hebat,” katanya. – AFP