Graduan diseru kuasai ilmu terkini, sahsiah diri

Graduan diseru kuasai ilmu terkini, sahsiah diri

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Sept – Untuk melengkapkan diri ke alam pekerjaan konsep pembelajaran sepanjang hayat, penguasaan ilmu terkini dalam bidang sains dan teknologi, mempunyai sahsiah diri dan kecerdasan kerohanian, berpandangan jauh, berdaya tahan, berdaya saing dan memiliki kemahiran asas adalah antara kelebihan dan nilai utama yang harus bagi setiap graduan miliki untuk mendepani pelbagai ujian dan cabaran.

“Nilai-nilai tersebut amat penting sebagai pelengkap diri graduan yang bakal menjadi pelapis kepimpinan dan usahawan serta tenaga kerja yang berkualiti tinggi iaitu kelas pertama bagi negara kita yang tercinta ini tapi ia tidak akan datang bergolek tanpa kita sendiri berusaha mencapainya.”

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Institut KEMUDA ke-5 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Bercakap kepada para graduan yang diraikan pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin melahirkan harapan bahawa kejayaan yang telah dicapai akan menjadi pendorong untuk menambah lagi pengetahuan masing-masing supaya dapat terus relevan dan secara aktif menyumbang dalam pembangunan negara.

“Graduan setentunya memahami bahawa ilmu yang kita perolehi pada hari ini mungkin saja tidak sesuai dua tiga tahun akan datang jika kita tidak terus berusaha meningkatkan ilmu yang diperolehi itu sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa,” ujar beliau.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Institut KEMUDA ke-5 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Institut KEMUDA ke-5 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin mengalu-alukan peranan yang dimainkan oleh Institut KEMUDA, seperti juga institusi pendidikan swasta yang lain dalam memberikan peluang berterusan bagi pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka.

Menurutnya, tanggungjawab mendidik anak bangsa supaya mereka menjadi rakyat yang sempurna, berilmu pengetahuan, mempunyai sahsiah yang tinggi, pemedulian, berjiwa kemasyarakatan, berwawasan, taat berpaksi MIB terletak di bahu semua institusi pendidikan, untuk melahirkan generasi yang bakal mewarisi dan menerajui negara ini.

Menyentuh mengenai anugerah istimewa yang disampaikan pada majlis berkenaan, iaitu NCC Regional High Achiever Award, 2nd in World Achiever dan 3rd in World Achiever, beliau berkata, pencapaian ini sangat membanggakan semua dan penuh bermakna kepada negara kerana terbukti pelajar di negara ini juga mampu menonjolkan diri di peringkat antarabangsa dan seterusnya menaikkan nama negara di mata dunia.

Ini juga satu mercu kejayaan Institut KEMUDA yang boleh mendorongnya untuk meningkatkan prestasi dengan mengadakan kolaborasi bersama lain-lain institusi tinggi di luar negara bagi membolehkan institut berkenaan menawarkan kursus-kursus yang sama terdapat di institusi luar negara.

Menurut Yang Berhormat Pehin, usaha yang sudah dirancang dengan rapi dan berpandangan jauh untuk menawarkan Ijazah Sarjana Muda dengan kerjasama universiti antarabangsa akan memberikan manfaat yang besar kepada negara.

“Ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar-pelajar tempatan untuk memperolehi ijazah dari institusi pengajian tinggi luar negara,” tambahnya.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin berharap usaha murni Institut KEMUDA ini akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan akan menjadi satu lagi mercu tanda dalam bidang pendidikan tinggi negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA