Graduan ITQSHHB berazam curah bakti untuk negara

Graduan ITQSHHB berazam curah bakti untuk negara

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Kegembiraan jelas terlihat pada wajah setiap graduan semasa Majlis Haflut Takarruj kali ke-4 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) setelah berjaya menamatkan pengajian selama tiga tahun dalam Program ‘Aliyah Qira’at sekali gus menggenggam segulung Diploma Qira’at mereka hari ini.

Beberapa orang graduan yang ditemui turut berkongsi kegembiraan mereka sekali gus memberikan semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha bagi meraih kejayaan yang diharapkan.

Menurut Dayang Hindah Khairiyah binti Haji Shohibuddin (kanan), beliau amat gembira setelah berjaya mendapat diploma hari ini.

Katanya, bidang ilmu Qiraat ini berkaitan dengan Al-Quran yang antaranya tujuh Qiraat, cara penulisan Al-Quran dan hukum berhenti dalam pembacaan Al-Quran dan yang lainnya.

Beliau yang akan melanjutkan pengajian di universiti luar negara juga berhasrat untuk terus mendalami bahasa Arab untuk lebih memantapkan hafalan Al-Quran.

pg08_160909_f

Seorang lagi graduan, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini, 20, juga melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana memberi peluang menamatkan program Aliyah Qira’at serta menyimpan cita-cita untuk menghasilkan Mushaf Qiraat yang lain selain Hafs ‘An ‘Asim yang digunakan di negara ini pada masa ini.

Mengenai cabaran sepanjang tempoh pengajian dalam penghafalan setiap mata pelajaran, katanya, beliau lebih suka mengamalkan kaedah pembacaan satu juzuk Al-Quran bagi setiap waktu sembahyang.

“Semangat dan dorongan sehingga berjaya menamatkan program ini, datangnya daripada diri sendiri disebabkan hasrat untuk mendalami ilmu Qiraat iaitu salah satu cabang daripada ilmu Al-Quran, selain dorongan dari ibu bapa, kawan-kawan dan guru-guru yang bersusah payah mengajar sejak dari peringkat menengah lagi,” ujar Awang Muhammad Syahmi.

Selepas menamatkan pengajian ini, beliau akan melanjutkan pembelajaran di Maahad Qiraat Shoubra di Universiti Al-Azhar Mesir untuk mempelajari dan mendalami bidang Qiraat yang telah dipelajari di Brunei.

Beliau juga berharap setelah berjaya menamatkan pengajian di universiti itu nanti, beliau akan dapat menyumbang bakti kepada negara dengan memulakan kelas Al-Quran yang mengajar setiap bakal-bakal Imam supaya mereka dapat membaca dengan betul.

Rakannya, Awang Hezqyl bin Haji Hambali (kiri) pula berkata, beliau berasa bersyukur dapat menamatkan hafazan 30 Juzuk Al-Quran dan sepanjang tempoh pengajian, ibunya banyak mendorong dan menasihatinya sehingga berjaya.

Katanya, antara cabaran yang dilalui semasa pengajian ialah masalah kurang yakin dan tidak konsisten dalam pembelajaran, namun berkat sokongan pensyarah dan kawan-kawan yang sentiasa memberikan sokongan masalah tersebut dapat diatasi dengan baik.

Awang Hezqyl juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda dalam bidang Qiraat di Kaherah, Mesir dan apabila berjaya menamatkan pengajian di sana nanti, beliau berharap dapat mengongsikan segala ilmu dan pengalamannya dengan semua rakyat Brunei supaya dapat memahami isi kandungan dan mencintai ilmu Al-Quran, jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA