Graduan kecil NLP terima sijil

Graduan kecil NLP terima sijil

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Bagi mencapai kecemerlangan demi kejayaan Wawasan Brunei 2035, semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan masyarakat perlu bekerjasama, memahami dan seterusnya melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sekolah yang selaras dengan matlamat pendidikan negara.

Ketua Sekolah Perdagangan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Pengiran Hajah Norashikkin binti Pengiran Profesor Dr. Haji Amir Muhammd Yussof berucap demikian pada Majlis Konvokesyen dan Pesta Pendidikan ke-38 Sekolah Nusa Laila Puteri (NLP) yang berlangsung di Dewan Riadah Pusat Belia dan Sukan, di sini, petang tadi.

Beliau selaku tetamu kehormat majlis yang juga menyampaikan sijil-sijil kepada murid-murid kindergarten (KG) 3 dan menyampaikan hadiah kepada murid cemerlang Kelas KG 2 dan 3 seterusnya menyatakan tujuan acara itu adalah adalah bagi meraikan murid-murid Sekolah NLP yang telah memperolehi kejayaan khususnya murid KG 3 yang telah lulus dan berjaya dalam peperiksaan dan layak melanjutkan pelajaran mereka keTahun 1 pada tahun 2017.

“Majlis seperti ini sudah setentunya akan dapat meningkatkan minat dan memberikan peluang kepada ibu bapa dan anak-anak murid sekolah ini untuk mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak mereka,” ujarnya lagi.

Antara para graduan kecil yang bakal menerima sijil-sijil mereka.
Antara para graduan kecil yang bakal menerima sijil-sijil mereka.

Seramai 157 murid-murid KG 3 dari empat cawangan Sekolah NLP telah menerima sijil-sijil mereka pada majlis tersebut.

Majlis juga diikuti dengan penyampaian hadiah dari Insurans Islam Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) yang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran, Insurans Islam TAIB, Haji Abdul Majid bin Haji Hidup kepada enam pelajar cemerlang dalam Anugerah Best Pupils 2016, tajaan Insurans Islam TAIB.

Sementara itu, Presiden, Pengarah dan Pengetua Sekolah Nusa Laila Puteri, Profesor Dr. Pengiran Amir Mohammad Yussof bin Pengiran Abbas Al-Haj dalam ucapan alu-aluannya turut menjelaskan sekolah tersebut telah memberikan perkhidmatan dalam bidang pendidikan selama kira-kira 40 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA