Graduan perlu serba boleh

Graduan perlu serba boleh

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Untuk membangun ekonomi yang berdaya tahan, negara memerlukan saiz penduduk bekerja (working population) yang besar, bagi terus menjana aktiviti perdagangan yang dinamik.

Ini sejajar dengan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menggalakkan suasana pasaran dan perdagangan yang kondusif kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Perhubungan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ke-24 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Beliau juga berkata, negara masih memerlukan rakyat dan penduduk yang mempunyai kelayakan di peringkat teknikal dan vokasional.

Mengikut statistik daripada Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), sebanyak 16,000 pekerjaan yang memerlukan kelayakan teknikal dan tertier masih diisi oleh pekerja dari luar negara.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan IBTE kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan IBTE kelmarin.

“Saya juga telah difahamkan bahawa tahap employability graduan yang mempunyai kelayakan di bidang teknikal semakin meningkat hingga mencapai hampir 75 peratus,” tambah beliau.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa menyanjung IBTE dan Kementerian Pendidikan atas segala inisiatif untuk mempertingkatkan latihan teknikal dan vokasional di negara ini.

Menurut beliau, usaha tersebut telah membuka peluang dan pilihan awal kepada penuntut untuk merancang dan mengejar minat mereka dari awal lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Kementerian Perhubungan juga sedang giat melaksanakan inisiatif yang akan dapat membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baru yang mana sektor perhubungan mencatatkan perbelanjaan ketiga terbesar di negara ini dalam konteks perbelanjaan isi rumah (household expenditure).

Katanya, sektor ini juga merupakan asas penting kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang dinamik.

Beliau turut menghargai kerjasama di antara Kementerian Perhubungan dan pihak IBTE dalam mengetengahkan keperluan membina modal insan yang berkemahiran.

Menurutnya lagi, melalui pengangkutan udara dan maritim, kita terus berusaha untuk meningkatkan kesalinghubungan dengan negara-negara dan destinasi yang mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan keselamatan.

Dalam perkara ini, beliau melihat IBTE memainkan peranan penting untuk membangun kapasiti negara dan menyediakan tenaga pekerja dan kemahiran bagi memenuhi kompetensi yang digariskan oleh International Civil Aviation Organisation dan International Maritime Organisation.

Antara bidang yang diperlukan ialah kelayakan-kelayakan teknikal dan profesional bidang pengawasan lalu lintas udara, kecekapan dalam navigasi dan maritim serta pengangkutan awam.

“Hasilnya nanti, Insya-Allah, bukan hanya menjadikan anak-anak tempatan kita lebih berkelayakan tetapi mereka juga boleh bersaing bagi meraih peluang pekerjaan yang kompetitif baik di peringkat negara atau antarabangsa,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa turut menekankan kepada para graduan alam pekerjaan atau keusahawanan, bukanlah sesuatu perkara yang dipandang ringan atau simply take for granted di mana graduan perlu sentiasa mengukur keupayaan diri dengan persekitaran pekerjaan.

“Sejauh mana pencapaian graduan selanjutnya akan bergantung kepada keupayaan untuk memberikan yang terbaik dan sebagai nilai tambah yang menjamin kesinambungan karier masing-masing”.

Beliau seterusnya melahirkan harapan agar graduan akan memanfaatkan ilmu yang diperolehi dan akan terus mempertingkatkan diri dengan menimba pengalaman dan pembelajaran sepanjang hayat atau life-long learning.

“Para graduan tidak ada pilihan melainkan untuk perlu serba boleh (versatile) dan berinovasi mencambahkan sikap kepada bidang ilmu yang lain dan memasuki ke persada persaingan,” ujarnya sambil menambah, ilmu adalah pelita yang akan menyinari dan mewarnai kehidupan graduan yang perlu dicari sehingga peringkat mana pun.

ARTIKEL YANG SAMA