Graduan universiti lebih berisiko alami tumor otak

Graduan universiti lebih berisiko alami tumor otak

PARIS, 21 Jun (AFP) – Individu yang mengikuti pendidikan tinggi sekurang-kurangnya tiga tahun lebih berisiko mendapat tumor otak pembawa barah berbanding mereka yang belajar tidak lebih 10 tahun di sekolah.

“Ada 19 peratus peningkatan risiko graduan universiti lelaki akan didiagnos dengan glioma,” kata saintis di Institut Kesihatan Kanak-Kanak di London dan ketua penulis kajian dalam Journal of Epidemiology and Community, Amal Khanolkar.

Bagi wanita, risiko itu meningkat sebanyak 23 peratus. “Ia keputusan mengejutkan yang sukar dijelaskan,” katanya. Secara konkrit, peningkatan risiko adalah minimum kerana tumor otak seperti itu jarang berlaku.

Pada tahap pendidikan paling rendah, peluang menghidap glioma dilaporkan lima dalam setiap 3,000. Pada akhir spektrum pendidikan, ia meningkat kepada enam pada setiap 3,000.

Namun persoalan yang kekal sama ada jurang itu, tidak kira sekecil mana, adalah betul dan jika iya, apa penyebabnya.

Penyelidikan terdahulu mendedahkan kemungkinan kaitan pendidikan atau tahap sosial, dan kekerapan tumor otak, tidak meyakinkan.

Bagi menamatkan hasil kajian bertentangan itu, Khanolkar dan rakannya di Institit Karolinska di Stockholm menggunakan pendekatan baru.

Tidak membandingkan bilangan kecil pesakit tumor otak dengan individu sihat, mereka sebaliknya meneliti rekod kesihatan 4.3 juta dewasa yang dikesan sistem kesihatan umum Sweden sejak 1993 hingga 2011.

Penyelidik membezakan antara tiga jenis tumor otak, dua daripada tidak menyebabkan barah, dengan punca berbeza.

Kaitan kuat antara tahap pendidikan dan tumor ada pada ketiga-tiga jenis tetapi paling kukuh bagi glioma yang boleh membawa kematian.

Menariknya, jurang risiko lebih tinggi ditemui antara buruh berpendapatan rendah dan lelaki dan wanita berpendapatan tinggi yang bekerja tidak menggunakan fizikal.