Granada benam Levente 5-1

Granada benam Levente 5-1

MADRID, 22 April – Hatrik Youssef El Arabi membolehkan Granada keluar daripada zon penyingkiran dalam carta La Liga apabila merekodkan kemenangan 5-1 ke atas Levante, awal pagi tadi.

El Arabi menyempurnakan dua sepakan penalti dan menjaringkan gol kelima Granada pada masa kecederaan bagi menambah jaringan Isaac Success dan Ruben Rochina di babak pertama untuk melonjak ke tangga ke-17 liga, satu mata di depan Sporting Gijon.

Levante berdepan tugas sukar untuk mengelak daripada tersingkir apabila mereka kekal di tangga terbawah liga dan lima mata dipisahkan daripada zon selamat dengan berbaki empat perlawanan musim ini.

Sementara itu, Getafe menambahkan peluang mereka untuk kekal dalam saingan liga utama dengan kemenangan pertama dalam 14 perlawanan liga apabila kembali bangkit untuk mengatasi Real Sociedad 2-1.

Kemenangan itu menyaksikan Getafe kini hanya dipisahkan dua mata untuk keluar daripada zon penyingkiran. Bekas penyerang Swansea City, Alvaro Vasquez menjaringkan gol kemenangan kelab itu menerusi sepakan penalti selepas Pablo Sarabia memadam kelebihan jaringan awal yang dilakukan Carlos Vela buat Sociedad. – AFP