Grand Picasso serba luas dan mewah

Grand Picasso serba luas dan mewah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Pengedar tunggal Citroen, Grand Motors Sdn Bhd hari ini mengajak pengamal media di negara ini untuk menyaksikan, menilai dan menguji pandu kereta terbaru, kereta MPV (Multi Purpose Vehicle), Citroen C4 Grand Picasso yang serba luas, sesuai untuk pelanggan yang berkeluarga.

Penulis yang menyaksikan lebih dekat lagi kereta itu, terpegun dengan saiznya yang besar, luas dan dilengkapi tujuh tempat duduk, selain rekaannya yang kelihatan anggun dan mewah.

Dalam uji pandu dari bilik pamerannya di Beribi ke Pantai Serasa, ia ternyata menonjolkan prestasi yang memberangsangkan, lancar ketika memecut kerana reka bentuknya yang agak aerodinamik. Lazimnya, kereta besar tujuh tempat duduk akan tampak biasa sahaja, namun Citroen ternyata tampak menarik dan moden serta mewah.

Pemanduan juga tidak terasa bosan apabila sistem hiburannya yang dilengkapi skrin 12 inci HD dan skrin kepelbagaian fungsi kenderaan 7 inci memberikan hiburan tanpa henti sepanjang perjalanan. Selain itu, ia mempunyai sistem navigasi GPS, sistem i-Stop, kamera undur serta kawalan letak kereta automatik yang memberikan ketenangan kepada pemandu ketika meletak kereta di ruang yang sempit, kerana dengan menekan beberapa punat sahaja ia akan terletak pada tempatnya, pemandu hanya perlu menekan brek bagi pengawasannya.

Dengan keselesaan bagi penumpang dalam ruang lunjur yang luas, ia juga memberikan pemandangan menarik keindahan pantai waktu petang dari bumbung panoramiknya.

Citroen C4 Grand Picasso tampak gah, luas dan moden.
Citroen C4 Grand Picasso tampak gah, luas dan moden.
Teknologi terkini Picasso pastinya membuatkan penggemar kereta jenis MPV menyukainya.
Teknologi terkini Picasso pastinya membuatkan penggemar kereta jenis MPV menyukainya.

Ketika perjalanan jauh pula, ia memberikan kelegaan kepada pemandu yang keletihan dengan mesin pengurut di tempat duduk pemandu dan penumpang serta tempat rehat kaki yang berfungsi secara elektronik.

Dengan teknologi ketahanan bahan api AdBlue, Picasso ternyata jimat dalam penggunaan bahan api dan boleh berulang alik dari Muara ke Tutong dalam beberapa kali selain mengurangkan pencemaran.

Ia didatangkan dengan enjin 1.6 liter yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 210kmsj pada 6,000 rpm dengan tork 240Nm pada 1,400 rpm melalui transmisi automatik enam kelajuan AT Turbo.

Picasso juga memiliki zon berkembar penyaman udara automatik, sistem fungsi tanpa kunci dan mampu membuka pintu belakang dengan hanya menekan punat elektronik.

Citroen sememangnya terkenal dengan tahap keselamatan tinggi apabila Picasso juga dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri keselamatan seperti enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan dan tiga poin ISOFIX serta amaran pertukaran laluan dan titik buta.

Pendek kata, memandu Picasso ternyata memberikan kepuasan bukan sahaja kepada pemandu malahan penumpang kereta itu.

Bagi menyaksikan sendiri kehebatan dan menguji pandu kereta ini, orang ramai bolehlah berkunjung ke Bilik Pameran Grand Motors di Perindustrian Beribi.

ARTIKEL YANG SAMA