Grand Prix KL

Grand Prix KL

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Lebih 1.2 bilion penonton dari 115 negara seluruh dunia dijangka menyaksikan perlumbaan julung kali Grand Prix KL yang akan disiarkan secara langsung mulai 7 hingga 9 Ogos ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GT Race Global (Malaysia) Sdn Bhd yang juga penganjur perlumbaan, M. Arrasu berkata perlumbaan yang akan disiarkan oleh ESPN dan Fox Sports itu merupakan peluang bagi Kuala Lumpur menjadi terkenal di seluruh negara.

“Melalui tontonan televisyen ini, Kuala Lumpur akan menyerlah sebagai satu daripada ikon trek perlumbaan dengan Menara Berkembar Petronas sebagai monument bandar raya ini.

“Melalui platform ini, Kuala Lumpur pastinya akan mencipta nama dari segenap pelosok dunia sekali gus meningkatkan ekonomi di ibu negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Grand prix akan menyaksikan pemandu memecut dengan laju melalui 3.2 kilometer litar sementara ‘gred 3’ dengan 16 liku termasuk di sepanjang Jalan P.Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Pinang.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersama Pengerusi GT Global Race Sdn Bhd Tuanku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar (duakiri) bergambar bersama selepas melihat persiapan litar KL City Grand Prix di hadapan Menara Kuala Lumpur 15 Julai lalu. – Bernama
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersama Pengerusi GT Global Race Sdn Bhd Tuanku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar (duakiri) bergambar bersama selepas melihat persiapan litar KL City Grand Prix di hadapan Menara Kuala Lumpur 15 Julai lalu. – Bernama

Acara berkenaan dijangka turut mempamerkan pelbagai model kereta lumba GT seperti Lamborghini Super, Formula Masters, Porsche Carrera dan Audi R8 LMS Cup, selain demonstrasi lima pasukan terbaik siri perlumbaan V8 Supercars.

Pemandu akan berlumba di jalan-jalan di Kuala Lumpur pada anggaran kelajuan lebih 200 kilometer sejam yang akan dinobatkan juara.

Arrasu berkata segala lesen dan prosedur untuk menganjurkan perlumbaan berkenaan telahpun diuruskan.

Menurutnya, reka bentuk litar berkenaan telah diluluskan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan menunggu ia disiapkan esok untuk disahkan sebagai litar perlumbaan rasmi.

“Pada awal Julai lepas, Tim Sechken dari FIA, bersama-sama pegawai Persatuan Automobil Malaysia (AAM) memeriksa kerja-kerja pembinaan litar berkenaan dan FIA telah memberikan isyarat bagus,” kata Arrasu.

Sementara itu, AAM dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia telah pun meluluskan lesen berkenaan.

Susunan trek untuk perlumbaan tiga hari itu kini hampir 100 peratus siap.