Great Eastern Takaful sasar peningkatan pelanggan 20 peratus

Great Eastern Takaful sasar peningkatan pelanggan 20 peratus

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Great Eastern Takaful Bhd, cabang insurans Islam kumpulan Great Eastern, menyasar peningkatan jumlah pelanggan sebanyak 20 peratus tahun ini daripada 400,000 sekarang, disokong oleh penawaran produk sedia adanya dan juga pelancaran produk akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zafri Ab Halim berkata kumpulan itu akan melancarkan enam produk baharu, tiga produk Bancatakaful dan tiga di bawah saluran pengedaran agensi.

“Kami yakin dan akan terus mengembangkan perniagaan baharu kami dengan sasaran pertumbuhan dua angka hampir kepada 20 peratus bagi tahun ini.

“Bagaimanapun, masih terdapat impak disebabkan oleh kelembapan ekonomi apabila kami menyedari beberapa polisi berkurangan dalam tahun pertama atau kedua,” katanya kepada Bernama.

Mengenai prospek bagi 2016, beliau berkata industri takaful mempunyai potensi yang amat besar dan masih ada ruang bagi pertumbuhan memandangkan kadar penembusannya sekarang ialah pada 14.5 peratus berbanding produk insurans konvensional pada hampir 50 peratus.

“Masih ada orang Melayu di negara ini yang tidak dilindungi insurans,” katanya sambil menambah isu-isu ini perlu ditangani kerana mereka yang belum mempunyai insurans nampaknya masih tidak melihat insurans sebagai suatu yang penting.

Zafri berkata kumpulan itu berusaha untuk meningkatkan bilangan ejennya di samping menyediakan latihan yang sesuai kepada mereka agar mereka dapat mengetahui bagaimana untuk menarik pelanggan baharu mengikut keupayaan mereka.

Great Eastern Takaful ketika ini mempunyai 6,000 ejen dan menyasar menambah 1,900 lagi ejen baharu tahun ini, katanya.

Menurutnya Great Eastern Takaful akan terus berkembang dan membangunkan pengedaran agensinya menerusi agensi langsung dan agensi duaan sebagai saluran pengedaran utama tahun ini.

Beliau berkata kumpulan itu juga akan mempelbagaikan capaian pengedarannya di samping menambah baik dan memanfaatkan kecemerlangan perkhidmatan operasi serta membangunkan dan melancarkan produk inovatif. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA