Greece hantar kumpulan ke-2 pendatang ke Turki

Greece hantar kumpulan ke-2 pendatang ke Turki

ATHENS, 8 April (AFP) – Greece mengusir kumpulan kedua pendatang ke Turki hari ini di bawah perjanjian EU yang berkontroversi untuk mengurangkan bilangan yang sampai ke Eropah dan menamatkan krisis pelarian paling teruk di benua itu, sejak Perang Dunia Kedua.

Satu sumber polis di pulau Lesbos mengatakan 45 orang lelaki Pakistan telah ditempatkan di dalam feri Turki di sebalik usaha-usaha oleh aktivis untuk menghentikan operasi itu. Tiga orang lelaki terjun ke dalam air dan berpaut pada sauh feri tetapi dialihkan oleh pengawal pantai Greece, menurut seorang pemberita sambilan AFP.

Kira-kira 30 orang juga berhimpun di pelabuhan Lesbos, dengan melaungkan “Hentikan Pengusiran”, “EU, sungguh memalukan” dan “Kebebasan bagi orang Pelarian.” Kumpulan kedua yang seramai kira-kira 80 orang pendatang dijangka meninggalkan Lesbos lewat hari ini.

Pemindahan pertama seramai lebih 200 orang dari kepulauan Greece, Lesbos dan Chios ke Turki telah mengambil tempat pada Isnin lalu tetapi permohonan suaka yang gelabah di saat-saat akhir oleh para pendatang yang terdesak untuk menghindar pengusiran telah melengahkan proses itu.

Seorang pegawai polis mengiringi pendatang (tengah) dari feri Turki yang membawa kumpulan kedua pendatang yang dihantar pulang dari Eropah ke Turki kelmarin. – AFP
Seorang pegawai polis mengiringi pendatang (tengah) dari feri Turki yang membawa kumpulan kedua pendatang yang dihantar pulang dari Eropah ke Turki kelmarin. – AFP

Perjanjian EU pada 18 Mac dengan Ankara yang begitu dipertikaikan termasuklah penghantaran balik ke wilayah Turki, pendatang-pendatang yang mendarat di kepulauan Greece, dalam usaha untuk tidak menggalakkan orang yang lari dari peperangan dan kemiskinan dari melakukan penyeberangan berbahaya dengan menaiki bot-bot yang tidak kukuh.

Bagi setiap orang pelarian Syria yang dihantar balik ke Turki, seorang warga Syria sepatutnya menetap di Eropah. Sebagai ganjaran dari kerjasama itu, Turki akan menerima faedah termasuklah perjalanan bebas visa bagi warganegaranya ke Eropah, yang awal dijanjikan pada bulan Jun.

Ankara akan juga menerima enam bilion euro dalam bantuan kewangan sehingga akhir 2018 bagi 2.7 juta orang pelarian Syria yang diterimanya. Tetapi kumpulan hak asasi mengkritik perjanjian itu dengan Amnesty International mendakwa Turki tidak boleh dianggap sebagai ‘negara selamat’ bagi pengembalian orang pelarian.

Parti Sepanyol berhaluan kiri telah memfailkan aduan mahkamah semalam ke atas pemangku Perdana Menteri Mariano Rajoy bagi ‘jenayah kemanusiaan’ ekoran sokongannya bagi perjanjian itu.

ARTIKEL YANG SAMA