Greece hantar pendatang kembali ke Turki

Greece hantar pendatang kembali ke Turki

LESBOS, Greece, 4 April (AFP) – Greece menghantar balik kumpulan pertama pendatang ke Turki hari ini di bawah perjanjian EU yang telah berdepan kritikan keras dari kumpulan-kumpulan hak asasi.

Sebuah feri kecil Turki, Lesvos, dan kapal layar lebih besar, Nezli Jale, meninggalkan pulau Lesbos dengan membawa 131 orang pendatang, terutamanya dari Pakistan dan Bangladesh, menurut agensi sempadan EU Frontex yang mengiringi mereka ke Turki.

“Prosedur sangat tenang, segala-galanya berjalan lancar,” jurucakap wanita Frontex, Ewa Moncure memberitahu para pemberita di pelabuhan Lesbos. Para pegawai Turki hadir ketika proses itu, tambahnya lagi.

Sebuah lagi kapal layar Turki membawa para pendatang dari pulau berhampiran, Chios, para pegawai belum mengesahkan berapa ramai orang di dalam kapal itu. Beberapa belas orang aktivis di Chios berhimpun berhampiran di kawasan tempat bertolak untuk membantah penghantaran pulang itu, dengan melaungkan ‘Freedom’ (Bebas), menurut seorang jurugambar AFP.

Menteri Dalam Negeri Turki Efkan Ala berkata negaranya bersedia menerima 500 orang hari ini dan pihak berkuasa Greece telah memberikan 400 nama, meskipun bilangan ini boleh berubah.

Sebuah feri kecil membawa pendatang yang dihantar pulang ke Turki, telah tiba di pelabuhan daerah Dikili di Izmir kelmarin. – AFP
Sebuah feri kecil membawa pendatang yang dihantar pulang ke Turki, telah tiba di pelabuhan daerah Dikili di Izmir kelmarin. – AFP

Sumber daripada polis di Lesbos, pulau percutian Greece yang telah menjadi laluan masuk beratus ribu orang yang datang dari Turki, berkata berlaku keadaan kelam kabut dalam permohonan suaka di saat-saat akhir.

Para pegawai Greece berdiam diri tentang berapa ramai pendatang akan menyeberangi Laut Aegean kembali ke Turki. Agensi berita kerajaan ANA melaporkan semalam bahawa kira-kira 250 orang pendatang dari Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka dan negara-negara Afrika akan dihantar balik setiap hari antara Isnin dan Rabu.

Yiorgos Kyritsis, jurucakap unit penyelarasan orang pelarian Greece menegaskan operasi hari ini hanya ‘melibatkan mereka yang tidak memohon suaka.’ Kesatuan Eropah (EU) telah menandatangani perjanjian berkontroversi dengan Turki Mac lalu, dalam keadaan terdesak untuk menamatkan krisis teruk pendatang di benua itu sejak Perang Dunia II, dengan lebih sejuta orang tiba dari Timur Tengah dan tempat lain pada tahun lalu.