Greece kekal di zon Euro

Greece kekal di zon Euro

BRUSSELS, 14 Julai (AFP) – Teka-teki tentang masa depan Greece akhirnya terjawab hari ini apabila Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan Athens kekal bersama zon mata wang euro selepas persetujuan dicapai terhadap pelaksanaan pelan perjanjian pembaharuan ekonomi Athens untuk kali ketiga sejak 2010.

Keputusan itu sekali gus memberi harapan baharu buat negara itu daripada muflis.

Presiden EU, Donald Tusk dalam kenyataannya mengumumkan, semua 19 pemimpin zon euro bersetuju dengan pelaksanaan program Mekanisme Kestabilan Eropah (ESM) untuk Greece dengan mengenakan syarat pembaharuan yang ketat dan sokongan kewangan.

Menurut Tusk, keputusan berkenaan memberi peluang kepada Greece mengelak daripada menerima kesan buruk terhadap sosial dan politik negara itu selepas semua pihak mengadakan perbincangan selama 17 jam.

“Bagaimanapun Athens masih perlu mematuhi syarat ketat yang dikenakan melalui perjanjian tersebut,” tegas beliau.

Perdana Menteri Greece bercakap kepada media berkenaan krisis hutang Greece di Brussel. – AFP
Perdana Menteri Greece bercakap kepada media berkenaan krisis hutang Greece di Brussel. – AFP

Berdasarkan perjanjian itu, Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan dengan jaminan selama tiga tahun melibatkan pinjaman berjumlah 86 bilion euro, program ketiga yang dilaksanakan oleh Athens dalam tempoh lima tahun.

Syarat penuh tentang perjanjian itu masih belum didedahkan, tetapi persetujuan yang dicapai dipercayai melibatkan terma yang lebih ketat berbanding usul awal yang pernah ditawarkan kepada Greece sebelum ini.

Menteri Kewangan Finland, Alex Stub berkata, berdasarkan syarat yang dibentangkan semalam, Athens perlu melaksanakan undang-undang baharu yang lebih ketat terutamanya membabitkan langkah penjimatan termasuk pemotongan cukai, pencen dan lain-lain.

“Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) turut terlibat dalam syarat perjanjian dan Greece perlu mencagarkan aset berjumlah kira-kira 50 bilion euro dalam bentuk wang di Luxembourg bagi tujuan penswastaan,” katanya.

Athens mencetuskan kemarahan dalam kalangan anggota EU dan IMF apabila melaksanakan pungutan suara pada 5 Julai lalu yang menyaksikan majoriti rakyat negara itu menolak tawaran pembaharuan ekonomi dan langkah penjimatan oleh pemiutang antarabangsa.