Greece mohon dana

Greece mohon dana

BRUSSELS, 9 Julai (Reuters) – Greece hari ini menyerahkan surat permohonan rasmi bagi mendapatkan dana pinjaman selama tiga tahun daripada pertubuhan kewangan Eropah, European Stability Mechanism (ESM), namun tidak mendedahkan jumlah pinjaman yang diperlukan.

Sumber zon Eropah yang melihat dokumen berkenaan menjelaskan, adalah satu tindakan tidak matang untuk mengetahui jumlah dana yang mahu dipinjam oleh Greece daripada rakan niaga Eurozone itu.

Jelas sumber, hal ini kerana jumlah pinjaman bergantung kepada penilaian prospek ekonomi Greece yang dilihat semakin teruk dan jumlah wang awam yang akan dikendalikan oleh institusi pemiutang.

Surat itu diserahkan oleh Menteri Kewangan baharu Greece, Euclid Tsakalotos kepada Pengerusi ESM, Jeroen Dijsselbloem, dan Pengarah Urusannya, Klaus Regling.

Tindakan itu dibuat menjelang pertemuan semula negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad ini bagi menentukan nasib Greece, demi memastikan negara itu tidak terkeluar dari zon euro dan mengelak daripada muflis.

“Greece komited untuk melunaskan semua hutang yang diberi pemiutang dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Kami percaya, negara-negara anggota EU memahami kepentingan segera pinjaman yang kami mohon berikutan kerapuhan sistem perbankan kami, kekurangan kecairan yang tersedia, hutang-hutang akan datang, tunggakan dalam negara yang semakin banyak, dan hasrat kami untuk menjelaskan semua tunggakan dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Pusat Greece,” tulis surat tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras memberitahu anggota Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis, bahawa pihaknya akan menghantar usul pembaharuan meyakinkan esok.

“Kita perlu memastikan pembiayaan jangka sederhana Greece dengan program pembangunan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA