Greece tidak patut tangani masalah penghijrah sendirian

Greece tidak patut tangani masalah penghijrah sendirian

BERLIN, 29 Feb (AFP) – Canselor Jerman Angela Merkel berkata semalam EU tidak boleh membenarkan Greece, sebuah negara yang dijamin keluar daripada krisis hutang yang besar, terjerumus dalam “huru-hara” dengan menutup sempadan Eropah kepada pelariannya.

“Adakah anda percaya kesemua negara euro bertempur untuk mengekalkan Greece dalam zon euro pada tahun lalu dan kami adalah yang paling tegas boleh membenarkan Greece terjerumus dalam keadaan huru-hara satu tahun kemudiannya?” kata Merkel dalam temu bual televisyen.

Merkel mengkritik tindakan oleh Austria dan beberapa negara Balkan untuk memperkenalkan kawalan sempadan atau mengehadkan ketibaan penghijrah setiap hari, mewujudkan kesendatan di Greece tatkala bot pelarian terus tiba dari Turki.

“Apa yang telah berlaku adalah apa yang kami khuatir, bahawa sebuah negara kini dibiarkan bersendirian dengan masalahnya, dan kami tidak boleh membenarkannya berlaku,” kata pemimpin Jerman dalam satu temu bual panjang mengenai krisis penghijrah dengan televisyen ARD.

Angela Merkel ketika ditemu bual oleh wakil televisyen ARD. – AFP
Angela Merkel ketika ditemu bual oleh wakil televisyen ARD. – AFP

Merkel yang telah lama berbalah dengan Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras, menuntut langkah berjimat cermat sebagai tukaran kepada jaminan keluar EU-IMF berjumlah berbilion dolar berkata beliau kini berhubung rapat dengan pemimpin itu mengenai kemasukan pelarian.

Kemarahan telah pun meningkat di Greece, pintu masuk Eropah untuk beratus ribu penghijrah, selepas Vienna memperkenalkan had harian ke atas permohonan perlindungan dan empat buah negara Balkan, Macedonia, Serbia, Croatia dan Slovenia memperketat syarat-syarat kemasukan.

Jerman pada tahun lalu menerima lebih satu juta pencari perlindungan, lebih separuh dari Syria, Iraq dan Afghanistan, meninggalkan Merkel terdedah kepada kritikan di dalam negara serta dari kebanyakan rakan EU.

Merkel mendesak kemasukan pelarian dikurangkan menerusi kawalan ketat di sempadan luar EU, membabitkan kapal NATO yang menjalankan misi pengawasan untuk menghalang bot pelarian dari Turki, dan satu perjanjian EU dengan Ankara.