Greenpeace bantah penghantaran sisa nuklear

Greenpeace bantah penghantaran sisa nuklear

SYDNEY, 7 Dis – Para pembantah antinuklear yang berada dalam bot getah dan polis marin mengekori sebuah kapal membawa muatan sisa nuklear yang diproses semula ketika ia berlabuh di pelabuhan Australia selepas pelayaran dua bulan dari Perancis.

Kumpulan pencinta alam sekitar, Greenpeace, mempersoalkan keselamatan membawa 25 tan sisa-sisa itu yang pada asalnya dari sebuah reaktor Australia yang menghasilkan isotop radioaktif untuk kegunaan industri dan perubatan serta dihantar ke luar negara bagi rawatan.

Kini dibenamkan dalam kaca dan di dalam kontena perlindungan yang diteguhkan lagi, ia adalah penghantaran pertama seumpamanya yang dikembalikan ke Australia selepas diproses semula untuk menjadikannya selamat bagi penyimpanan jangka panjang.

Sebilangan kecil para pembantah adalah antara yang menyambut kapal itu, BBC Shanghai ketika ia berlabuh di tengah-tengah kawalan ketat dan kehadiran ramai anggota polis di Pelabuhan Kembla, selatan Sydney, pada tengah hari semalam, menurut mereka yang menyaksikannya.

Aktivis Greenpeace memegang sepanduk tatkala mengadakan bantahan penghantaran oleh kapal (atas kiri) sisa nuklear yang diproses semula di Pelabuhan Kembla di New South Wales. - AFP
Aktivis Greenpeace memegang sepanduk tatkala mengadakan bantahan penghantaran oleh kapal (atas kiri) sisa nuklear yang diproses semula di Pelabuhan Kembla di New South Wales. – AFP

Jurucakap wanita Greenpeace Emma Gibson mempersoalkan pilihan kapal yang digunakan bagi pelayaran dari Cherbourg di utara Perancis dan berkata butiran penghantaran itu dari Australia tidak sama dengan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Perancis.

“Kami mengekori kapal itu sepanjang pelayaran, sejauh yang mungkin. Kami akan mendokumenkan pengendaliannya dan mengekorinya ke Lucas Heights,” Gibson memberitahu Reuters.

Pemunggahan dijangka mengambil tempat semalaman dan sisa-sisa itu akan dibawa melalui darat menuju reaktor Lucas Heights di Sydney, tempat asalnya.

Ia akan disimpan di Lucas Heights sehingga Australia mempunyai tempat penyimpanan kekal bagi sisa-sisa nuklear yang telah digunakan. Negara itu tidak mempunyai kapasiti untuk memproses semula sisa-sisa nuklear.

Pengawal atur nuklear Australia menolak kritikan terhadap penghantaran itu dan berkata ‘tidak ada peluang berlaku sebarang kejadian,” ketika pengangkutan. Australia menghasilkan sisa-sisa dan bertanggung jawab mengambilnya semulanya, kata Phil McCall, jurucakap Pertubuhan Teknologi dan Sains Nuklear Australia (ANSTO). – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA