Greipel tawan peringkat lima Giro

Greipel tawan peringkat lima Giro

BENEVENTO, Itali, 12 Mei (AFP) – Pelumba Jerman, Andre Greipel menakluk peringkat kelima perlumbaan berbasikal elit, Giro d’Italia yang berakhir dengan pecutan beramai-ramai di penghujung perlumbaan, semalam.

Pada hari kedua perlumbaan di Itali selepas tiga peringkat termasuk pembukaan di Belanda, Greipel yang juga pakar pecut pasukan Lotto mula menampilkan kejaguhannya selepas menyaksikan rakan senegara, Marcel Kittel (Etixx) memenangi dua peringkat perlumbaan.

Menuju garisan penamat perlumbaan sejauh 233 kilometer itu yang bermula di Praia a Mare di Calabria, Greipel yang diberi jolokan ‘Gorilla’ disebabkan bentuk fizikalnya membuktikan dia lebih bertenaga untuk menang dengan catatan 5 jam 40 minit 35 saat.

Pemenang perlumbaan Jelajah Milan-SanRemo dari Perancis, Arnaud Demare (FDJ) terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala pelumba Itali, Sonny Colbrelli (Bardiani), ketiga.

Pelumba Jerman Andre Greipel meraikan kejayaan di podium selepas memenangi pusingan kelima 233km antara Praia a Mare dan Benevento, semasa perlumbaan Giro d’Italia ke-99 di Benevento, semalam. – AFP
Pelumba Jerman Andre Greipel meraikan kejayaan di podium selepas memenangi pusingan kelima 233km antara Praia a Mare dan Benevento, semasa perlumbaan Giro d’Italia ke-99 di Benevento, semalam. – AFP

Jersi Pink yang juga pendahulu perlumbaan kekal menjadi milik pelumba Belanda, Tom Dumoulin. Sejurus perlumbaan, Greipel berkata pasukannya terpaksa mengharungi beban yang lebih di dalam kumpulan peloton selepas beberapa siri pemecahan lewat dibuat pelumba lain.

Saya berada di belakang ketika kemalangan (membabitkan Rein Taaramae) namun saya berjaya lepas dan memulakan pecutan ketika ketika perlumbaan berbaki 300 meter.

Dumoulin yang berlumba bersama pasukan Giant memakai jersi Pink selepas memenangi perlumbaan ujian masa pada pusingan pertama perlumbaan Giro dan kekal memakai jersi utama itu selepas menamatkan pusingan kedua di belakang pemenang, Diego Ulissi dari Lampre.