Griezmann muncul wira Atletico

Griezmann muncul wira Atletico

MADRID, 26 Sept – Antoine Griezmann sekali lagi muncul wira Atletico Madrid ketika finalis Liga Juara-Juara musim lalu itu melangkah ke tangga ketiga La Liga berikutan kemenangan 1-0 ke atas Deportivo la Coruna, awal pagi tadi.

Kemenangan tuan rumah itu dibayangi kecederaan lutut serius oleh pemain tengah, Augusto Fernandez sebelum rehat babak pertama yang menyaksikannya bakal terlepas keseluruhan aksi musim ini.

Jose Maria Gimenez juga terpaksa digantikan pada babak pertama akibat masalah kecederaan pangkal paha dan dijangka tersisih pertembungan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, Khamis ini.

Deportivo pada perlawanan itu terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang babak kedua selepas Faycal Fajr dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Atletico memperoleh beberapa peluang terbaik sepanjang awal babak kedua namun hanya menembusi gawang Deportivo 20 minit kemudian menerusi Griezmann yang juga gol kelimanya musim ini.

Griezmann yang menjaringkan satu-satunya gol pada perlawanan tersebut. – AP
Griezmann yang menjaringkan satu-satunya gol pada perlawanan tersebut. – AP

Skuad bimbingan Diego Simeone kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Real Madrid dan satu mata di belakang Barcelona.

“Ini bukanlah berita yang baik terutama kecederaan Augusto namun doktor boleh menerangkannya lebih baik berbanding saya,” kata Simeone.

Atletico muncul satu-satunya kelab dalam saingan Liga Juara yang bermain, awal pagi tadi namun pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan ia bukan alasan ketika menentang Bayern.

“Kini kami memerlukan mangkuk pasta yang besar, rehat yang baik dan tidur yang baik. Kami akan menjalani proses pemulihan esok dan berlatih dengan baik pada Selasa,” kata Semeone.

“Mereka perlu tidur dengan baik kerana mereka akan bermain pada Rabu (Khamis) dan apa yang berlaku bukan alasan.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA