Grillo julang jelajah Web.com

Grillo julang jelajah Web.com

NAPA, Amerika Syarikat, 19 Okt – Pemain Argentina, Emiliano Grillo membenam birdie pada penentuan playoff kedua untuk mengatasi Kevin Na sekali gus merangkul gelaran pertamanya dalam Jelajah PGA AS, hari ini.

Baharu memperoleh kad Jelajah PGA dua minggu lalu, pemain berusia 23 tahun itu memenangi Kejuaraan Jelajah Web.com yang juga kejohanan pembuka musim Jelajah PGA 2016 selepas melakukan tiga pukulan bawah par 69 pada hari terakhir sekali gus membawa perlawanan ke penentuan playoff.

Kejuaraan Web.com adalah gelaran pertamanya dalam Jelajah PGA selaku pemegang kad dengan penampilannya sebelum ini hadir menerusi jemputan penaja.

Grillo yang sudah pun dicanang antara calon pemain baharu terbaik tahun ini begitupun bukan asing dengan kejohanan besar malah hanya tewas menerusi penentuan playoff kepada pemain Jerman, Alex Cejka dalam Terbuka Puerto Rico.

Pada Kejuaraan Barbasol pula, dia terikat di kedudukan ke-10.

Emillio Grillo menjulang trofi Kejuaraan Jelajah Web.com. - AFP
Emillio Grillo menjulang trofi Kejuaraan Jelajah Web.com. – AFP

Hampir menamatkan permainan pada penentuan playoff pertama apabila hanya perlu melakukan put dalam jarak kurang semeter, Grillo gagal membuat pukulan yang diharapkan apabila bolanya sekadar melintasi lubang.

Perlawanan kemudian dibawa ke playoff kedua di lubang ke-18 par lima yang membawa kepada kemenangannya.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi playoff selepas kedua-duanya terikat dengan kedudukan 15 bawah par 273 berakhir 72 lubang perlawanan.

Pemain Afrika Selatan, Tyrone Van Aswegen yang melakukan pukulan terbaik di pusingan terakhir iaitu 68 menamatkan kejohanan di kedudukan ketiga sekalipun terpaksa dikejarkan ke hospital di sebelah pagi.

Van Aswegen dibawa ke hospital selepas mengadu kurang sihat dengan doktor mengesahkan dia mengalami kekurangan air di dalam badan dan hilang keseimbangan badan. – AFP