Groom Big beri peluang pengusaha kembang sayap

Groom Big beri peluang pengusaha kembang sayap

NANNING, 20 Sept (Bernama) – Selepas China, Program Groom Big yang dikendalikan atas usaha sama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), MATRADE dan SIRIM, bakal memberi peluang kepada pengusaha Bumiputera untuk mengembangkan sayap mereka ke pasaran Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Bumiputera MITI Bahria Mohd Tamil berkata buat masa ini, sektor yang diberi fokus ialah produk berasaskan makanan halal.

“Buat masa ini, memang kita mahu fokus pada makanan halal dahulu. Baru-baru ini, majlis ekspo kebangsaan memutuskan supaya produk halal diperkenalkan bagi meningkatkan eksport kita dalam usaha menangani situasi ekonomi semasa,” kata Bahria kepada media Malaysia di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2015.

Beliau turut berharap dapat menambah penyertaan syarikat Bumiputera di bawah program ini ke CAEXPO tahun depan jika sambutan tahun ini menggalakkan.

“Setakat hari pertama, sejumlah RM15,000 transaksi jualan tunai berjaya dikumpul, dan China merupakan satu pasaran yang besar untuk syarikat di bawah Groom Big tembusi,” kata Bahria.

CAEXPO 2015 merupakan misi perdagangan pertama mereka sejak ditubuhkan pada 2006.

Untuk CAEXPO tahun ini, Program Groom Big membawa 19 syarikat tempatan bagi mempromosikan produk mereka ke pasaran China.

Antara syarikat yang dikatakan berpotensi untuk menembusi pasaran China adalah Hajjah Aminah Food Industry dan Fikrysz (M) Sdn Bhd yang sudah pun berjaya menembusi pasaran ASEAN serta global.

Daripada 1,200 syarikat yang telah berdaftar dalam program ini, 50 syarikat merupakan syarikat yang sudah sedia untuk mengeksport.

Ekspo itu yang bermula pada 18 dan berakhir 21 September, menyaksikan lebih 2,200 syarikat dari China dan ASEAN, termasuk 149 syarikat dari Malaysia, mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing di Pavilion Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA