Grosjean sah milik Haas

Grosjean sah milik Haas

LONDON, 30 Sept (Reuters) – Romain Grosjean meninggalkan Lotus pada akhir musim untuk menjadi ‘pemandu utama’ dalam pasukan Formula Satu yang baru, Haas dari Amerika Syarikat pada 2016.

Pengasas dan pengerusi pasukan itu, Gene Haas, yang juga pemilik bersama pasukan NASCAR, Stewart-Haas, memperkenalkan Grosjean pada sidang akhbar di ibu pejabat mereka, Kannapolis di Carolina Utara.

Haas yang dikuatkan Ferrari, juga memiliki gabungan teknikal rapat bersama-sama Maranello, adalah peserta milik AS yang pertama dalam Formula Satu sejak 1986.

“Dia sudah pasti mempunyai banyak tugasan yang dilakukan, dia akan menjadi pemandu utama kami dan kami akan bergantung ke atasnya dalam membantu strategi kami dengan kereta, dengan litar perlumbaan dan mempelajari seluruh operasi pasukan F1,” Haas memberitahu wartawan.

Grosjean berkata dia berminat dalam projek Haas dari awal dan suka dengan fakta bahawa mereka mendapatkan pendekatan yang berbeza berbanding pasukan baru yang lain pada masa lalu.

“Saya rasa ia adalah pendekatan yang begitu berjaya,” tambah pemandu dari Perancis itu.

“Saya suka dengan idea itu, perkongsian mereka bersama-sama Ferrari, saya suka dengan segalanya, saya suka dengan fakta bahawa ia bergerak secara perlahan tetapi menarik dan saya gembira yang telah membuat keputusan itu.” Grosjean, 29, mencatatkan 10 penyudah podium dari 78 grand prix selepas memulakan kerjayanya bersama Renault – dahulunya Lotus yang berada dalam proses pengambilalihan pasukan yang bergelut dari segi kewangan — pada 2009.

Terbaru, dia berada di tangga ketiga di Belgium bulan lalu.

Hubungan Ferrari adalah pengunci bagi pemandu dari Perancis, dengan pasukan Itali dilihat akan mencari pengganti Kimi Raikkonen dari Finland, pada akhir musim seterusnya.