GST penyelamat ekonomi Malaysia – Najib

GST penyelamat ekonomi Malaysia – Najib

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada April tahun lepas, dari segi makronya merupakan penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelaksanaan GST telah mendapat kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion dengan unjuran kutipan bersih RM27.126 bilion pada Disember 2015.

Kutipan bersih GST itu dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini, katanya pada perhimpunan khas Kementerian Kewangan di sini Jumaat.

“Pelaksanaan GST dari segi aspek makro menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum. Maka, tidaklah salah kalau saya menyatakan bahawa dari segi makro, GST merupakan penyelamat kepada keadaan kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhan,” katanya.

Najib berkata harga minyak juga dijangka kekal rendah pada tahun ini dengan penyusutan pendapatan kerajaan dianggarkan lebih RM30 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap di perhimpunan khas bersama warga Kementerian Kewangan (MOF) di Bangunan Perbendaharaan Malaysia hari ini. - Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap di perhimpunan khas bersama warga Kementerian Kewangan (MOF) di Bangunan Perbendaharaan Malaysia hari ini. – Bernama

Beliau berkata kalau harga minyak kekal pada paras AS$32.35 atau AS$36 setong, penyusutannya adalah lebih RM30 bilion.

“Bagi AS$1 jatuh dari paras yang sebelumnya bererti bahawa kita berkurangan RM300 juta dari segi hasil kerajaan,” katanya.

“Inilah keadaan yang kita berdepan dan kalau tiada GST, maka defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1 peratus pada tahun ini,” katanya.

Dengannya ada hasil tersebut, Najib berkata kerajaan dapat melaksanakan projek-projek pembangunan seperti jalan raya, hospital, sekolah, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya kepada rakyat.

Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang melampau, beliau berkata kerajaan meneruskan program BR1M yang memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan peruntukan RM5.9 bilion.

Sehubungan itu, beliau menyaran agar kakitangan Kementerian Kewangan menerangkan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan projek-projek pembangunan, kemudahan pendidikan dan kesihatan merupakan subsidi tersembunyi atau tidak langsung yang disediakan kerajaan.

Beliau memberikan contoh perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan iaitu bayaran untuk pesakit luar hanya dikenakan RM1, bertemu pakar RM5 dan rawatan ‘bypass’ pula RM500.

“Ramai masih tidak sedar dan mengambil kesempatan selama ini,” katanya.

Najib dalam pada itu berkata di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), lapan lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan siap sepenuhnya tahun ini termasuk di Labuan, Sungai Petani (Kedah), Miri dan Sibu (Sarawak) serta Kelantan.

Beliau berkata perkhidmatan UTC banyak menyumbang kepada pelaksanaan program-program berunsurkan ‘Ekonomi Rakyat’, khususnya yang membawa faedah besar kepada rakyat Malaysia.

Di bawah NBOS juga, hampir 200,000 penduduk pedalaman mendapatkan perkhidmatan di Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) dan 77 program berjaya dilaksanakan pada tahun lepas, katanya.

Sementara itu, Najib juga memberi jaminan bahawa peralihan Bahagian Perumahan (BPP) kepada Lembaga Pembiayaan Sektor Awam (LPPSA) bermula 1 Jan tidak melibatkan sebarang dasar baharu dan perubahan terma Skim Pinjaman Perumahan.

“Kemudahan yang dinikmati oleh penjawat awam seperti jumlah kelayakan pinjaman, kadar faedah ke atas pinjaman perumahan iaitu sebanyak empat peratus dan kemudahan-kemudahan lain adalah dikekalkan,” katanya.