GTA sasar keluarkan alat pesawat

GTA sasar keluarkan alat pesawat

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA), penyedia selenggara dan baik pulih enjin helikopter Turbo-meca, menyasarkan untuk menembusi segmen pembuatan alat pesawat dalam tempoh setahun.

GTA merupakan syarikat bumiputera dan merupakan sebahagian daripada syarikat aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan Perancis, Safran.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi, berkata GTA sedang menguruskan perkara mengenai rantaian logistik dan bekalan serta pendekatan untuk memberi manfaat kepada pemegang kepentingannya.

“Pada asasnya, kami sedang berbincang dengan beberapa pembekal bahan mentah dan kemudian kami akan berjumpa pembuat alat asal berkenaan.

“Kami berharap dapat mengeluarkan alat-alat itu dalam tempoh setahun di kemudahan kami di Subang, yang akan diperluaskan bagi memenuhi keperluan pengeluaran tambahan,” katanya kepada Bernama

Nonee Ashirin berkata projek berkenaan bermula apabila GTA dicadangkan kepada Snecma, yang juga anak syarikat Safran, untuk membuat alat pesawat bagi tentera Malaysia.

GTA kemudiannya diberi lesen pembuatan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta beberapa insentif atas statusnya sebagai perintis.

“Lesen yang diberikan kepada kami itu adalah bukti kepercayaan MIDA kepada kami, dengan memanfaatkan hubungan baik kami dengan Safran Group,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GTA, Valerie Patuel berkata kemudahan GTA seluas 950 meter persegi di Subang boleh menampung empat enjin helikopter pada satu-satu masa ketika ini.

“Kebiasaanya, adalah lebih baik juruteknik kami pergi ke lapangan dan membaik pulih enjin ketika ia masih berada dalam helikopter,” katanya, dengan menambah GTA ketika ini mempunyai lebih 20 pekerja berkemahiran tinggi yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat tempatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA