GTFS lulus 188 projek mesra alam

GTFS lulus 188 projek mesra alam

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) meluluskan pembiayaan untuk 188 projek bernilai RM2.2 bilion pada 30 Jun 2015, menerusi 26 institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Apabila operasi bermula, pembiayaan yang diluluskan itu mampu mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dan mengurangkan hampir 2.67 juta tan bersamaan pelepasan karbon, kata Pengerusi Malaysia GreenTech, Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata projek ini juga dijangka menjana RM4.43 bilion pelaburan hijau di negara ini.

“GTFS membuktikan bagaimana insentif kerajaan dan pembabitan bersama sektor swasta secara berkesan, mampu memainkan peranan penting dalam mencetuskan pertumbuhan bidang baharu seperti teknologi hijau.

“Penglibatan dalam pembiayaan awam dan swasta penting untuk memanfaatkan momentum ini dan memberi daya tarikan kepada pertumbuhan sektor hijau,” katanya pada majlis perasmian Pembiayaan Forum Hijau di sini hari ini.

Bekas menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata kira-kira 55 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan adalah dalam bentuk pembiayaan Islam.

Ini merupakan peningkatan ketara berbanding hanya kira-kira 10 peratus pada 2010, tahun pertama program GTFS dilaksanakan, katanya.

Untuk masa hadapan, Chin berkata kewangan Islam akan terus menjadi penentu kuasa dalam mempercepatkan pertumbuhan sektor hijau.

Beliau berkata ini disokong oleh reputasi baik Malaysia serta pengalaman negara dalam sektor kewangan Islam, selain kedua-dua pembiayaan Islam dan hijau berkongsi nilai etika yang sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech, Ir Ahmad Hadri Haris berkata organisasi itu dijangka meluluskan sejumlah RM2.7 bilion menjelang akhir tahun, yang akan bersamaan dengan penambahan 20 hingga 30 projek.

GTFS dimulakan pada 2010 bagi mempromosi teknologi hijau dengan menyediakan pinjaman/pembiayaan kepada syarikat yang membekalkan dan menggunakan teknologi hijau, menerusi peruntukan sebanyak RM3.5 bilion.

Institusi kewangan menawarkan rebat dua peratus setahun ke atas faedah selain jaminan kerajaan sebanyak 60 peratus ke atas jumlah kos yang dibiayai. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA