Gua baru ditemui di Miri

Gua baru ditemui di Miri

KUCHING, 8 Nov (Bernama) – Sebuah gua yang baru ditemui di Taman Negara Mulu di Miri, Sarawak oleh penjelajah Britain, Andy Avis, diberi nama “Conviction Cave” (Gua Yakin).

Ini disahkan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak Wong Ting Chung Jumaat malam.

Wong berkata, nama itu diberi Avis, yang menjumpai gua berkenaan pada 15 Okt tahun ini. Avis melakukan penjelajahan di kawasan itu sejak 1978.

Kata beliau, sudah menjadi amalan biasa di seluruh dunia bahawa orang yang menjumpai sesuatu gua diberi keistimewaan memberi nama kepadanya. Menurut Wong, antara keistimewaan “Conviction Cave” ialah pembentukan lapisan batu kapurnya dan menurut beliau, usia gua berkenaan boleh ditentukan berdasarkan lapisan itu.

“Belum ada sesiapa yang pernah memasuki gua itu. Pribumi tempatan pun tidak tahu tentang kewujudannya,” kata beliau.

Wong berkata jarak dari ibu pejabat Taman Negara Mulu ke gua itu ialah kira-kira 15 kilometer atau lebih kurang dua jam berjalan dengan meredah laluan yang berceranggah.

Oleh yang demikian, kata beliau, gua itu tidak sesuai untuk ekopelancongan kerana sukar untuk pelancong sampai ke sana.

“Gua ini penting dari segi saintifik kerana terdapat pembentukan batu kapur berbentuk menegak dan tajam di dalamnya serta ada satu lubang besar lebih 100 meter.

“Gua ini tidak terusik sejak lebih enam juta tahun lepas dan oleh itu, penemuannya sangat penting,” kata Wong.

Beliau berkata, kini terserahlah kepada saintis dan kerajaan negeri untuk membuat kajian sama ada gua ini boleh dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan.