Guam bukan pasukan kerdil

Guam bukan pasukan kerdil

HAGATNA, 17 Jun (AFP) – Media Guam hari ini memuji kemenangan mengejutkan pulau kecil Pasifik itu ke atas India dalam kelayakan Piala Dunia sebagai keputusan sejarah yang menunjukkan pasukan itu bukan lagi pasukan bola sepak Asia yang tidak mempunyai tempat.

Matao pada ranking ke-174 menewaskan India 2-1 semalam, mengetepikan pesaing yang berada pada jarak 33 tangga di atas mereka dalam ranking FIFA dengan penduduk hanya 1.24 bilion berbanding Guam 160,000 orang.

Kemenangan di depan hampir 5,000 penonton di Pusat Latihan Kebangsaan Persekutuan Bola Sepak Guam, menyusul kemenangan pertama mereka dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA minggu lalu apabila menewaskan Turkmenistan 1-0.

“Pulau kecil itu yang tidak seharusnya memenangi mana–mana perlawanan dalam kelayakan Piala Dunia berdiri dengan kedudukan 2-0 pada awal peringkat kelayakan,” kata akhbar harian Mariana Variety.

“Masih terdapat banyak persaingan untuk dihadapi tetapi adalah selamat untuk menyatakan tidak seorang pun memandang remeh Guam ketika ini,” tambahnya.

Satu–satunya kempen kelayakan Piala Dunia Guam – pada 2000 – berakhir dengan kekalahan apabila mereka dibelasah 19-0 oleh Iran dan 16-0 oleh Tajikistan.

Kekalahan paling teruk mereka adalah 21-0 di tangan Korea Utara pada 2005 dan India berada dalam perlawanan semalam dengan keyakinan penuh selepas menang 4-0 ke atas pulau itu pada 2013.

Tetapi Pacific Daily News Guam menunjukkan Mateo yang bermakna ‘semangat’ dalam bahasa peribumi Chamoroo, telah ‘mendominasi India dalam setiap fasa perlawanan’.

Para peminat juga ramai memuji kemenangan itu dalam laman Facebook GFA dengan Federico Micci menggambarkannya sebagai ‘keajaiban cemerlang dan tulen!’