Guardian peruntuk RM20 juta untuk penjenamaan semula tahun depan

Guardian peruntuk RM20 juta untuk penjenamaan semula tahun depan

PETALING JAYA, 29 Dis – Rangkaian kedai farmasi, kesihatan dan kecantikan, Guardian Malaysia memperuntukkan RM20 juta untuk penjenamaan semula dan pengembangan perniagaannya tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Peter J. Dove berkata penjenamaan semula itu akan melibatkan penambahbaikan logo korporat, warna dan juga hiasan kedai bagi meningkatkan daya tarikan kepada pelanggan.

“Kami juga akan membuka 15 kedai lagi di seluruh Malaysia tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kami 449 buah,” katanya kepada pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat syarikat, di sini hari ini.

Menyentuh Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), Dove berkata perjanjian perdagangan itu berpotensi menurunkan harga ubat-ubatan, sekali gus menjadikannya lebih berpatutan kepada pengguna.

TPPA adalah perjanjian perdagangan berwawasan besar bagi abad ke-21, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Rundingan perjanjian dimuktamadkan di Atlanta, Georgia, AS pada Oktober lepas. – Bernama