Guardiola akui sukar sambar Leroy

Guardiola akui sukar sambar Leroy

MUNICH, 21 Julai – Pep Guardiola mengakui keinginan Manchester City untuk mendapatkan khidmat Leroy Sane hampir menemui jalan buntu selepas Schalke enggan menurunkan harga yang ditetapkan.

Era Guardiola bersama kelab kaya raya itu dimulakan dengan penampilan di gelanggang yang pernah dipanggil laman sendiri, Allianz Arena bagi perlawanan persahabatan dengan bekas kelabnya, Bayern Munich.

Sekali pun City tewas 0-1 hasil gol lewat Erdal Ozturk, Guardiola menegaskan dia ‘berpuas hati’ dengan persembahan pasukannya namun usahanya untuk mendapatkan Sane, berdepan masalah.

Pemain kebangsaan Jerman itu sudah menyuarakan dengan jelas dia mahu menyertai City namun Schalke bertegas mereka tidak akan menjualnya dengan harga kurang daripada STG42 juta.

Yuran perpindahan itu dipercayai terlalu tinggi buat pemain berusia 20 tahun itu.

Reaksi Guardiola semasa perlawanan bola sepak persaha-batan antara FC Bayern Munich dan Manchester City di Stadium Allianz Arena semalam. – AP
Reaksi Guardiola semasa perlawanan bola sepak persaha-batan antara FC Bayern Munich dan Manchester City di Stadium Allianz Arena semalam. – AP

Guardiola yang berhasrat untuk membawa masuk beberapa muka baru ke Etihad termasuk pertahanan Everton, John Stones amat meminati Sane dan tiada sebarang cadangan yang City ketika ini akan menarik diri daripada meneruskan perbincangan dengan Schalke.

Begitupun, ketika ini, pengendali kelahiran Sepanyol itu perlu meneruskan perancangan tanpa menggunakan khidmatnya.

“Sane masih pemain Schalke,” kata Guardiola. “Kami sudah bercakap dengannya dan Schalke tahu kami berminat dengannya namun pada minit ini, kami tidak mempunyai banyak kemungkinan untuk mendapatkannya.

“Perbezaan di antara Manchester City dan Schalke terlalu besar. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku namun ketika ini dia masih bersama Schalke.” – Agensi