Guardiola bakal gegarkan Liga Perdana Inggeris

Guardiola bakal gegarkan Liga Perdana Inggeris

LONDON, 2 Feb – Pep Guardiola yang diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Manchester City musim depan menegaskan dia sudah bersedia untuk ‘cabaran baru’.

Guardiola antara jurulatih paling berjaya juga memberitahu dia tidak akan mengakhiri kariernya ‘tanpa pengalaman di England.’ “Saya mahu mencuba atmosfera, emosinya,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu.

“Saya tahu ia adalah risiko, tetapi ia betul-betul apa yang saya suka.

“Malam tadi, Manchester City menamakan secara rasmi Guardiola sebagai pengurus mereka untuk musim depan, selepas usaha memujuknya lebih daripada empat tahun.

Guardiola, yang meninggalkan Bayern Munich pada akhir musim ini, akan mengambil alih daripada Manuel Pellegrini dengan kontrak selama tiga tahun dilaporkan bernilai STG15 juta (RM94 juta) setahun.

Pep Guardiola bakal gunakan pengalamannya bagi mengurus pasukannya semasa Liga Perdana Inggeris nanti. – Reuters
Pep Guardiola bakal gunakan pengalamannya bagi mengurus pasukannya semasa Liga Perdana Inggeris nanti. – Reuters

Walaupun City masih bersaing untuk empat trofi, termasuk Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris, Pellegrini berkata dia tahu pemilik kelab sudah berbincang dengan Guardiola dan akan mengumumkannya pada bila-bila masa.

Berita itu membayangi sebarang perjanjian lain pada hari akhir jendela perpindahan Januari.

City, sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang memuktamadkan rundingan sejak beberapa minggu lalu dengan Guardiola untuk menjadi jurulatih The Citizens bagi musim depan.

“Kontrak itu untuk tiga tahun. Rundingan ini adalah satu permulaan kepada perbincangan yang tidak menjadi pada 2012,” kata kelab terbabit.

“Sebagai tanda hormat kepada Manuel Pellegrini dan pemain, kelab ingin menjadikan ia keputusan umum bagi menghentikan segala spekulasi.

“Manuel juga menyokong penuh keputusan untuk memaparkan berita ini, dan berjanji akan terus memberi tumpuan untuk mencapai sasarannya musim ini dan menghormati keputusan ini.

“Pellegrini, 62, tiba di City pada 2013 bagi menggantikan Roberto Mancini. Sepanjang di bawah kendaliannya The Citizens memenangi 64 daripada 99 aksi EPL. – Agensi