Guardiola bakal ke Etihad?

Guardiola bakal ke Etihad?

LONDON, 19 Okt – Spekulasi bahawa Pep Guardiola bakal berpindah ke Manchester City semakin meningkat selepas gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich sudah membuat perancang untuk menggantikan pengendali dari Sepanyol itu dengan jurulatih Itali, Carlo Ancelotti.

Menurut akhbar Britain, Mirror, Bayern sudah pun menghubungi Ancelotti selepas Guardiola keberatan untuk menyambung kontrak­nya yang bakal berakhir hujung musim ini kerana dikatakan berminat membimbing City.

Bayern memberi tempoh kepada Guardiola sehingga 1 Januari ini untuk menyatakan pendiriannya sama ada mahu kekal bersama Ba­yern atau sebaliknya.

Seandainya Guardiola, 44, memutuskan untuk meninggalkan Munich selepas tiga tahun membimbing kelab itu, Ancelotti adalah calon utama untuk mengisi kekosongannya.

Liga Jerman akan berehat enam minggu, seminggu sebelum sambutan Krismas dan pucuk pimpinan Bayern sudah tidak boleh bersabar lagi dengan sikap berdolak dalik Guardiola ketika ditanya mengenai masa depannya.

Spekulasi semakin meningkat mengatakan Pep Guardiola akan berhijrah ke Manchester City. - Reuters
Spekulasi semakin meningkat mengatakan Pep Guardiola akan berhijrah ke Manchester City. – Reuters

Bayern sedar, jurulatih itu mempunyai hubungan rapat dengan dua eksekutif City iaitu Ferran Soriano dan Txiki Begiristain kerana mereka pernah bekerjasama ketika di Barcelona.

Situasi itu membuatkan mereka terpaksa mengambil langkah bersiap sedia dengan menghubungi bekas jurulatih AC Milan, Chelsea dan Real Madrid, Ancelotti mengenai rancangan pertukaran jurulatih.

Mereka sedar, gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) juga mensasarkan jurulatih dari Itali itu, yang pernah membimbing kelab tersebut dari 2011-2013.

City dilaporkan sudah mencapai perjanjian lisan dengan Guardiola, namun perkara yang sama sudah diperkatakan sejak dua tahun lalu ketika Manuel Pellegrini mengambil alih kelab daripada Roberto Mancini. – Agensi