Guardiola: Bayern ada peluang besar

Guardiola: Bayern ada peluang besar

BERLIN, 29 April – Pasukan Pep Guardiola, Bayern Munich boleh menjadi kelab pertama menang gelaran Bundesliga empat kali berturut-turut jika menewaskan Borussia Moenchengladbach esok, walaupun diganggu kekalahan pada separuh akhir Liga Juara-Juara.

Bayern memiliki kelebihan tujuh mata berbaki tiga perlawanan, dan kemenangan mengatasi Gladbach di Allianz Arena, Munich akan mengesahkan gelaran liga keempat berturut-turut, catatan yang tidak pernah dilakukan mana-mana pasukan sebelum ini.

Namun Bayern masih merasai kesan selepas kekalahan awal pagi Khamis lalu dalam Liga Juara-Juara berdepan Atletico Madrid.

Guardiola dikritik oleh media Jerman (Adakah Pep memusnahkan peluang terakhir Bayern?, tanya akhbar Bild), termasuk bekas jurulatih Bayern Ottmar Hitzfeld (Taktik itu tidak menjadi), berkaitan pemilihan pemain.

Thomas Mueller, penjaring terbanyak Bayern di Eropah, dan Franck Ribery masing-masing diletakkan di bangku simpanan menyebabkan Bayern perlu melakukan apa saja pada saingan penentuan di Munich.

Guardiola seperti tidak gembira ketika ditanya sama ada dia akan merehatkan sebahagian pemain berdepan Gladbach.

“Kami masih perlu menang satu perlawanan, kami hanya ada beberapa hari untuk bersedia dan kemudian kami akan berdepan Atletico dalam tempoh tiga hari,” katanya. “Kami perlu menang berdepan Gladbach terlebih dulu.” – AFP