Guardiola gesa sokongan peminat

Guardiola gesa sokongan peminat

MANCHESTER, United Kingdom, 15 Sept – Pengurus Manchester City Pep Guardiola memberi amaran kepada penyokong kelab berkenaan bahawa pasukan tersebut tidak mampu mencapai kejayaan dalam Liga Juara-Juara melainkan mereka mula menyahut kejohanan itu.

Sergio Aguero menjaringkan hatrik apabila City memulakan kempen Kumpulan C dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Borrussia Moenchengladbach awal pagi tadi dalam perlawanan yang telah ditangguhkan berikutan hujan lebat pada hari sebelumnya.

Namun seperti perlawanan-perlawanan sebelum pada peringkat kumpulan, Stadium Etihad dilihat jauh dari penuh, dengan hanya 30,270 pemerhati datang dalam arena yang boleh memuatkan 53,000 pada malam-malam Eropah.

“Penyokong kami, mereka perlu tahu bahawa kami bermain untuk mereka,” Guardiola memberitahu pada sidang media selepas berakhir perlawanan tersebut.

“Ia adalah tugas kita, kami di sini, namun untuk bermain tanpa peminat-peminat kami, tiada sebab mengapa kami di sini. Para penyokong kami perlu tahu bahawa kami memerlukan mereka dalam Liga Juara-Juara.

Pep Guardiola ketika mengendalikan pasukannya pada perlawanan tersebut. - AFP
Pep Guardiola ketika mengendalikan pasukannya pada perlawanan tersebut. – AFP

“Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semua orang datang ke sini, namun dalam Liga Juara-Juara orang ramai tidak datang.

“Kami memerlukan mereka untuk bersaing dengan kumpulan-kumpulan hebat di dunia. Kami tidak boleh membuat sesuatu yang baik dalam Liga Juara-Juara dalam tahun mendatang tanpa mereka.

“Dengan penyokong dan lagu nyanyian kami, kami lebih kuat. Saya berasa, sejujurnya, apa yang para pemain ini telah lakukan dari awal, para pemain kami layak untuk melihat stadium ini diisikan sepenuhnya.

“Mudah-mudahan menentang Barcelona dan Celtic (lawan mereka dalam kumpulan sama), ia akan menjadi kenyataan.”

City mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lepas di bawah kendalian pendahulu Guardiola, Manuel Pellegrini.

Guardiola, pemenang dua kali Liga Juara-Juara bersama Barcelona, juga menggesa penyokong City untuk menghentikan kebiasaan mereka memberi sorakan ‘boo’ ketika lagu kejohanan itu dimainkan.

Para penyokong City sudah sekian lama mengejek lagu itu sejak penyokong CSKA Moscow berjaya menonton perlawanan menentang mereka pada 2014 meskipun perlawanan itu sepatutnya dimainkan tanpa pemerhati sebagai hukuman bagi isu perkauman. – AFP