Guardiola mengeluh

Guardiola mengeluh

BARCELONA, 7 Mei (AFP) – Jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola mengeluh dengan kekalahan pasukannya kepada Barcelona yang diinspirasikan oleh Lionel Messi ketika pasukan Catalan itu menjaringkan tiga gol dalam 13 minit terakhir untuk memenangi perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara–Juara 3-0 semalam.

Messi menukar perlawanan memihak kepada Barca dengan dua penyudah menarik dalam tempoh tiga minit apabila menjaringkan gol dari luar kotak penalti sebelum menyudahkan sepakan menewaskan Manuel Neuer di gawang Bayern dan kemudian memberikan umpanan pada minit akhir kepada Neymar membolehkan Barca menempah tempat ke final di Berlin awal bulan depan.

“Selepas 1-0 ia menjejaskan keyakinan kami. Jaringan terakhir memalukan kerana dengan 2-0 kami masih ada peluang, tetapi 3-0 adalah sukar,” kata Guardiola, yang kembali buat kali pertama ke Camp Nou sebagai jurulatih pesaing Barca selepas memenangi 14 trofi dalam tempoh empat tahun sebagai jurulatih di Catalan antara 2008 dan 2012.

Keputusan itu dilihat berat sebelah walaupun Neuer mempamerkan persembahan menarik, tetapi Messi gembira mendapat ruang untuk mengatasi penjaga gol antarabangsa Jerman itu dan mendapatkan beberapa langkah bagi membalas dendam tewas dalam Piala Dunia tahun lepas menentang nombor satu Bayern itu.

Reaksi Pep Guardiola (kiri) di garisan padang semasa pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Barca-Bayern di stadium Camp Nou semalam. – AFP
Reaksi Pep Guardiola (kiri) di garisan padang semasa pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Barca-Bayern di stadium Camp Nou semalam. – AFP

“Mereka mempunyai penjaga gol hebat, dia menghalang Luis (Suarez) dalam situasi satu lawan satu tetapi yang penting saya menjaringkan gol,” kata Messi.

“Kami tahu bagaimana bagusnya Bayern, mereka mahu menguasai bola, mereka kuat di tempat sendiri, tetapi kami bersyukur mampu mendapatkan jaringan.”

Bayern digegarkan beberapa kecederaan utama sejak beberapa bulan tetapi masih mampu menjulang gelaran Jerman ke-25 hujung minggu lalu dan Guardiola menegaskan dia tidak menyalahkan pemainnya.

“Saya bangga dengan pasukan pemain ini. Kami mengalami masalah dalam dua atau tiga bulan dan kami perlu berada di sini. Saya tidak menghampiri mereka menyalahkan sesiapa.

“Keputusan itu mengecewakan kami. Barca beraksi dengan baik. Saya faham cara untuk menghalang mereka adalah mendapatkan bola. Saya tidak tahu bagaimana mereka melakukan dengan cara lain.

ARTIKEL YANG SAMA