Guardiola minat jadi jurulatih Brazil

Guardiola minat jadi jurulatih Brazil

BARCELONA, 8 Julai (Agensi) – Pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola berminat untuk membimbing Brazil pada temasya Piala Dunia tahun lalu, menurut pertahanan negara itu, Dani Alves.

Benteng Barcelona itu berkata, bekas pengurusnya di Nou Camp itu sudah mempunyai pelan membantu Brazil selaku tuan rumah untuk muncul semula sebagai juara.

Namun dakwa Alves, pegawai persatuan bola sepak Brazil tidak berani melantik jurulatih asing membimbing pasukan kebangsaan.

“Pep memberitahu dia mahu menjadikan Brazil sebagai juara Piala Dunia dan sudah menyusun strategi membantu kami menjadi juara,” kata pemain berusia 32 tahun itu kepada ESPN Brazil.

“Namun mereka enggan kerana mereka tidak tahu sama ada Brazil sedia menerima jurulatih asing.”

Ketika mengendali Barcelona, Guardional berjaya meletakkan dirinya sebagai pembimbing paling berjaya kelab itu apabila memenangi 14 piala kejuaraan sepanjang empat musim termasuk dua pada saingan Liga Juara-Juara.

Dia meninggalkan kelab itu pada 2012 dan dilantik sebagai jurulatih Bayern pada musim panas berikutnya dan berjaya membantu kelab Jerman itu menenangi kejuaraan liga berturut-turut.