Guardiola mohon maaf kacau EPL

Guardiola mohon maaf kacau EPL

MUNICH, 12 Jan (AFP) – Pep Guardiola memohon maaf jika tindakannya mendedahkan hasrat untuk ke Liga Perdana Inggeris (EPL) memberi tekanan kepada pengurus di England.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City dengan Chelsea dan Manchester United berkemungkinan turut menjadi destinasi pilihannya apabila dia meninggalkan Bayern Munich pada penghujung musim ini.

Katanya, dia memohon maaf kepada pengendali di EPL sekiranya merasa tertekan dengan khabar angin berkenaan.

“Maaf kerana sepanjang karier saya bergelar jurulatih dan pemain, saya menghormati semua rakan saya, jadi sekali lagi saya memohon maaf kerana saya tidak berniat untuk menghebahkannya (perpindahan ke EPL),” katanya.

Pengendali berusia 44 tahun itu enggan mendedahkan kelab baharunya nanti, namun dia mengesahkan bakal berubah angin ke England apabila dia meninggalkan Jerman nanti.

“Saya akan mendedahkan destinasi baharu saya hanya selepas saya menandatangani kontrak bersama kelab terbabit.

“Saya juga masih belum bercakap mengenai perpindahan saya ke England bersama pemain saya. Kami hanya berbincang mengenai bola sepak, tapi saya fikir semuanya sudah tahu,” katanya.