Guardiola nafi spekulasi Messi

Guardiola nafi spekulasi Messi

MANCHESTER, 4 Julai – Pep Guardiola memulakan tugasnya sebagai pengurus Manchester City, semalam dengan menolak sebarang peluang untuk mendapatkan khidmat Lionel Messi serta menegaskan dia bertekad untuk membuatkan pengkritiknya diam.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu diragui oleh kebanyakan pengkritik yang dia berkemungkinan sukar untuk mengulangi kejayaan yang pernah dilakarnya di Barcelona dan Bayern Munich.

Guardiola yang berkemungkinan pengurus paling diingini di seluruh dunia disambut oleh 6,000 peminat City dalam satu majlis di Stadium Etihad.

Tampil bersamanya ialah enam pemain City daripada pelbagai kategori dengan skrin memaparkan moto “Ia bermula.”

Guardiola begitupun tampak tenang, sekali pun terpaksa menjawab soalan daripada peminat mengenai kemungkinan Messi mengikutinya ke City.

Guardiola ketika mengumumkan kepada penyokong Manchester City bahawa beliau secara rasmi akan menjadi pengurus baru kelab itu di Akademi Bola Sepak City di Manchester semalam. - AFP
Guardiola ketika mengumumkan kepada penyokong Manchester City bahawa beliau secara rasmi akan menjadi pengurus baru kelab itu di Akademi Bola Sepak City di Manchester semalam. – AFP

“Lelaki ini, dia bukannya pemain yang teruk,” kata Guardiola.

“Namun saya minta maaf, Messi akan kekal di Barcelona sehingga penghujung kariernya.”

Selaku pengurus, Guardiola sudah memenangi 22 trofi – termasuk dua trofi Liga Juara-Juara sejak 2008.

City dijangka bakal menjadi cabaran terhebat dalam kariernya dan sekali pun diberikan kekuatan dalam Liga Perdana Inggeris, pasukan itu sekadar menamatkan saingan musim lalu di kedudukan keempat.

“Saya membuktikan diri saya di tempat kelahiran saya di Barcelona dan saya membuktikan diri saya di Jerman. Dan saya mahu membuktikan diri saya di sini,” katanya. – AP