Guardiola rai kejayaan ke-100

Guardiola rai kejayaan ke-100

ZAGREB, 10 Dis – Pep Guardiola meraikan kemenangan ke-100 sebagai jurulatih Bayern Munich dengan Robert Lewandowski meledak dua gol bagi menewaskan Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Bayern sudah pun mengesahkan slot ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan F sebelum perlawanan di Stadium Maksimir itu yang menyaksikan Guardiola merekodkan pencapaian cemerlang bersama kelab gergasi Jerman berkenaan dengan hanya 132 perlawanan.

“Ia perlawanan yang sukar dan tidak mudah untuk bermain. Kami tahu kami perlu bersabar dan pada babak kedua kami mempunyai lebih banyak ruang untuk bermain,” kata Lewandowski.

Guardiola merehatkan penjaga gol, Manuel Neuer dan membawa masuk bekas penjaga gol Stuttgart, Sven Ulreich yang bermain buat kali kedua dalam perlawanan kompetitif buat Bayern.

Ulreich membuktikan kemampuannya apabila menyelamatkan percubaan awal daripada pemain tengah Dinamo, Josip Pivaric seawal minit keenam dan sekali lagi cemerlang mematahkan gerakan penyerang Algeria, El Arbi Hilal Soudani pada minit ke-25.

Reaksi Guardiola ketika mengendalikan pasukannya menentang Dinamo Zagreb di stadium Maksimir Zagreb, Croatia semalam. – Reuters
Reaksi Guardiola ketika mengendalikan pasukannya menentang Dinamo Zagreb di stadium Maksimir Zagreb, Croatia semalam. – Reuters

Dinamo terpaksa akur apabila menamatkan saingan Kumpulan F di tangga tercorot dengan Bayern dan Arsenal mara ke pusingan kalah mati.

“Saya perlu memberi pujian kepada pasukan saya atas prestasi mereka.

“Sven Ulreich bermain sangat baik dan saya berpuas hati dengan prestasinya,” kata Guardiola. – AFP