Guardiola tenang tanpa Aguero

Guardiola tenang tanpa Aguero

MANCHESTER, 29 Ogos – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola kekal tenang walaupun berdepan kemungkinan kehilangan penyerangnya, Sergio Aguero yang bakal digantung selepas dikesan menyiku pertahanan West Ham United, Winston Reid.

Aguero bakal berdepan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak England (FA) iaitu penggantungan andai insiden terbabit didapati sengaja dilakukan.

Penggantungan itu sekali gus akan mengetepikan bintang Argentina itu pada aksi seterusnya – pertemuan tetangga Manchester di Old Trafford pada 10 September.

“Saya tidak melihat insiden itu,” kata Guardiola ketika diminta mengulas insiden terbabit yang menyaksikan City berada di persada liga menerusi perbezaan jaringan.

Pep Guardiola (kanan) dan Pengurus West Ham United, Slaven Bilic semasa perlawanan Liga Perdana (PL) Inggeris antara Manchester City menentang West Ham United di Stadium Etihad, Manchester, England. – AP
Pep Guardiola (kanan) dan Pengurus West Ham United, Slaven Bilic semasa perlawanan Liga Perdana (PL) Inggeris antara Manchester City menentang West Ham United di Stadium Etihad, Manchester, England. – AP

“Saya masih baru di sini jadi saya tidak tahu bagaimana ia akan dinilai. Saya tidak menyaksikannya jadi saya tidak boleh mengulas apa-apa.

“Saya harapkan tiada apa akan berlaku. Namun kami akan terima apa saja keputusan dan jika kita kehilangan dia, tidak mengapa. Kami tetap akan beraksi dengan 11 pemain.”

Di sebalik perubahan yang dilakukan bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu, aksi memukau Raheem Sterling mencuri tumpuan selepas dia dilihat bergelut pada musim sulungnya di City.

“Saya tidak buat apa-apa kepadanya. Saya cuma buat yang terbaik kepada semua pemain,” kata Guardiola. – AFP