Guardiola yakin

Guardiola yakin

BERLIN, 3 Mei (AFP) – Pep Guardiola menegaskan Bayern Munich mampu mencipta tuah pada pertembungan ketiga berdepan lawan dari Sepanyol, Atletico Madrid dalam pusingan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara di Allianz Arena, awal pagi esok.

Atletico berkunjung ke Munich dengan bekalan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Saul Niguez pada perlawanan pusingan pertama di halaman sendiri, minggu lalu.

Guardiola, yang bakal membimbing Manchester City musim depan, mahu menamatkan kariernya di Munich dengan membantu pasukan melakar gelaran keenam di Eropah di final Liga Juara-Juara di Milan, 28 Mei ini. Ketua jurulatih Bayern itu mampu menamatkan tahun ketiga dan terakhirnya di Munich dengan meraih gelaran berganda.

Gergasi Bavarian itu kini berada di ambang kejuaraan keempat berturut-turut dalam kancah liga Jerman apabila berkunjung ke Ingolstadt Sabtu ini dan dijadual berdepan Borussia Dortmund di pentas final Piala Jerman, 21 Mei ini.

Namun gelaran Liga Juara-Juara adalah keinginan utama buat Guardiola dan Bayern Munich, terutamanya selepas kecundang dalam percubaan saingan separuh akhir, sejak dua tahun lalu.

Reaksi Guardiola ketika sidang akhbar di Munich semalam. – AP
Reaksi Guardiola ketika sidang akhbar di Munich semalam. – AP

Pada tahun 2014, Bayern disingkiran 4-0 di Munich oleh Real Madrid, perlawanan yang menyaksikan Sergio Ramos dan Cristiano Ronaldo masing-masing meledak dua gol, selepas kelab Bavaria itu tewas 0-1 di pusingan pertama di Bernabeu.

Di separuh akhir tahun lalu, Lionel Messi mudah memperkotak-katikkan pertahanan Bayern di babak kedua pusingan pertama di Barcelona. Dia meledak dua gol sebelum membantu Neymar menjaringkan gol bagi membolehkan Barcelona menang 3-0 di Camp Nou sebelum Bayern melakar kemenangan 3-2 di Munich, selepas itu.

“Ini adalah separuh akhir ketiga berturut-turut. Adalah sangat penting untuk mara ke final tetapi ia juga perlu diambil berat seperti mana ketika berdepan Real dan Barcelona yang mana kami tidak mampu mengatasinya,” kata Guardiola.

“Berdepan Real, kami tidak berdepan Ronaldo, (Gareth) Bale, (Karim) Benzema ataupun (Angel) Di Maria yang mengawal situasi. Ketika berdepan Barcelona, kami tidak bersedia, kami hanya mempunyai 14 pemain yang cergas tetapi kini kami sudah bersedia dan ia akan menjadi satu perlawanan yang berbeza.”