Gudang senjata tentera India terbakar

Gudang senjata tentera India terbakar

MUMBAI, 31 Mei – Satu kebakaran di salah sebuah gudang depot senjata tentera terbesar di India hari ini membunuh sekurang-kurangnya 17 orang dan mencedera berpuluh lagi, kata pegawai, tatkala gambar menunjukkan api menerangi langit pada waktu malam.

Kebakaran meletus semalaman di depot dikawal ketat yang menyimpan bertantan senjata berhampiran bandar Nagpur di tengah India.

“Tujuh belas orang telah terbunuh. Sembilan belas cedera tetapi tidak serius,” beritahu Smita Patil, superintenden polis daerah Wardha, kepada AFP menerusi telefon dari tempat kejadian.

“Satu operasi sedang dilancarkan dan kebakaran berjaya dikawal,” tambah Patil.

Beribu-ribu keluarga yang menetap di bandar dan kampung berhampiran telah pun dipindahkan dari kawasan sekitar Pulgaon, di barat negeri Maharashtra, di tengah kebimbangan letupan kedua akan berlaku di depot.

Agensi berita The Press Trust of India berkata dua pegawai adalah antara 17 tentera yang telah terbunuh, sementara rangkaian NDTV berkata kebakaran besar telah meletus selepas letupan.

Anggota bomba menggunakan sepuluh kereta bomba yang bekerja sepanjang malam untuk membendung kebakaran di depot, beritahu Ramesh Barde, pegawai bomba dengan jabatan bomba Nagpur, kepada AFP. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA