Gudni bersaing raih gelaran presiden

Gudni bersaing raih gelaran presiden

REYKJAVIK, 26 Jun (AFP) – Pendatang baru dalam dunia politik, Gudni Johannesson mendakwa meraih kemenangan dalam pilihan raya presiden Iceland selepas menggunakan sentimen anti penubuhan, meskipun undian tenggelam oleh perlawanan bersejarah bola sepak Euro di negara itu.

“Semua undi belum dihitung, tetapi saya berpendapat kami telah menang,” Johannesson memberitahu para penyokong. Dengan 36 peratus undi telah dihitung, dia dianggap meraih 38.6 peratus undi.

Kemenangan terutamanya manis bagi Johannesson, seorang profesor sejarah dan yang juga pengulas politik yang tidak pernah memegang jawatan awam dan tidak mempunyai gabungan parti, ketika dia meraikan ulang tahunnya yang ke-48 tahun hari ini.

Dia diikuti di belakang oleh seorang ahli perniagaan wanita, Halla Tomasdottir, juga bukan penyokong kuat sesuatu parti yang telah meraih 29.4 peratus undi.

David Oddsson, bekas perdana menteri konservatif dan gabenor bank pusat ang telah menjadi saingan terdekat Johannesson sepanjang kebanyakan kempen, hanya meraih 13 peratus undi.

Johannesson hanya membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan presiden selepas skandal yang digelar skandal Panama Papers dibocorkan pada April lalu yang membutirkan akaun luar pesisir dan membabitkan beberapa ahli politik kanan Iceland, termasuklah perdana menteri yang terpaksa meletak jawatan.