Guerrero wira Peru

Guerrero wira Peru

TEMUCO, Chile, 26 Jun (Reuters) – Penyerang berbisa Peru, Paolo Guerrero meledak hatrik ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Bolivia dalam saingan suku akhir Copa America, di sini, semalam.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad berkenaan yang dibimbing Ricardo Gareca bakal bertemu tuan rumah, Chile di peringkat separuh akhir.

Selepas meledak gol pembukaan pada minit ke-20, Guerrero memperaga ketajamannya dengan menjaringkan gol kedua, tiga minit kemudian pada aksi di Stadium German Becker itu.

Gol pertama Guerrero dijaringkan menerusi tandukan selepas memperoleh umpanan cantik daripada Juan Vargas dengan gol keduanya hadir menerusi satu serangan balas pantas.

Jaringan ketiga Peru terhasil pada minit ke-74, apabila pemain tengah Bolivia, Danny Bejarano melakukan kesilapan dengan menghantar bola Guerrero yang hanya berhadapan penjaga gol.

Paolo Guerrero (kiri) menjaringkan gol kedua ketika menentang Bolivia dalam aksi suku akhir Copa America di Temuco, semalam. - AFP
Paolo Guerrero (kiri) menjaringkan gol kedua ketika menentang Bolivia dalam aksi suku akhir Copa America di Temuco, semalam. – AFP

Gol sagu hati Bolivia pula dijaringkan Marcelo Moreno menerusi penalti selepas Damian Lizio dijatuhkan di kawasan penalti.

“Kami bermain dengan lebih baik dan baik,” kata Guerrero yang kini mengumpul 24 gol buat Peru dan kian menghampiri rekod jaringan milik legenda negaranya, Teofilo Cubillas yang memiliki 26 gol.

“Tidak ramai orang meletakkan kepercayaan kepada kami sebelum kejohanan ini namun kami sekali lagi membuktikan yang kami adalah pasukan yang terbaik,” katanya.

Peru yang turut layak ke separuh akhir Copa America 2011 jelas menguasai perlawanan di kedua-dua babak permainan.

Selepas Guerrero menjaringkan dua gol, seorang lagi penyerang Peru, Jefferson Farfan hampir meledak gol namun dinafikan palang gol.

Sekalipun beraksi lebih baik pada separuh masa kedua, Bolivia gagal menjaringkan gol sebelum Guerrero melengkapkan hatrik. Perlawanan separuh akhir Copa dijadualkan pada Selasa ini.

ARTIKEL YANG SAMA