Gugur janin kes rogol, cetus perdebatan

Gugur janin kes rogol, cetus perdebatan

MONTEVIDEO, 8 Mei (AFP) – Seorang pelajar lembap perempuan Uruguay berusia 11 tahun yang dirogol dan hamil mahu melahirkan anaknya itu, dalam mengulangi satu kes di Paraguay yang serupa, yang telah mencetuskan perdebatan hebat.

Budak perempuan itu yang tidak didedahkan namanya, sedang hamil 16 minggu dan disifatkan oleh para doktor dan sumber-sumber yang rapat dengan keluarganya sebagai mengalami kerencatan mental sedikit dan lembap dalam pembelajaran.

Dia dilaporkan dirogol oleh datuk kakak tirinya yang berusia 41 tahun yang kerap berkunjung ke rumah keluarganya di Montevideo, sumber rapat dengan keluarga memberitahu AFP semalam, apabila butiran kesnya muncul.

Lelaki itu telah ditahan dan akan didakwa atas tuduhan merogol, menurut para pegawai.

Dalam tahun 2013, Uruguay membenarkan pengguguran janin bagi kehamilan sehingga 12 minggu dan 14 minggu dalam kes rogol.

Bagaimanapun, laporan perubatan – yang dirujuk dalam media tempatan – membuat kesimpulan bahawa budak perempuan itu tidak dapat memahami kesan kehamilan dan menjadi ibu.

“Meskipun had akhir undang-undang bagi pengguguran janin telah melebihi, jika kami menentukan bahawa kehamilan itu membahayakan kesihatannya, pemberian kuasa kehakiman boleh diizinkan,” Marisan Lindner, pengarah Institusi Remaja dan Kanak-Kanak dan Uruguay (INAU) memberitahu sidang media.

Bagaimanapun Monica Silva, pengarah divisyen kesihatan INAU memberitahu surat khabar La Diaria bahawa ‘tidak ada risiko kehidupan bagi budak perempuan atau anak damit itu, maka kami tidak boleh menyuruhnya untuk melakukan pengguguran janin.”

Pihak hospital berkata budak perempuan itu dalam keadaan sihat dan di bawah pengawasan perubatan.

Kes itu dibuat selepas budak perempuan berusia 10 tahun yang dirogol dan hamil oleh bapa tirinya di Paraguay, yang mana menteri kesihatan telah menghalangnya daripada melakukan pengguguran janin.

Perlembagaan Paraguay menegah pengguguran janin melainkan nyawa ibu dalam bahaya.