Gugurkan kandungan, nasib wanita tempatan diketahui 1 Oktober ini

Gugurkan kandungan, nasib wanita tempatan diketahui 1 Oktober ini

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160926_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Nasib seorang perempuan tempatan yang mengaku bersalah kerana menggugurkan kandungannya yang berusia enam bulan akan diketahui pada 1 Oktober ini di Mahkamah Perantaraan.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain menetapkan tarikh sebutan hukuman itu bagi Nuramallinie @ Amal binti Suhaile selepas mendengar keterangan daripada pihak pendakwaan, doktor patologi dan tertuduh sendiri.

Nuramallinie, 22, menghadapi pertuduhan menggugurkan kandungannya dengan mengambil pil yang merangsang kontraksi pada rahim sehingga janin itu keluar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman telah mengemukakan beberapa kes berkaitan menggugurkan janin di negara jiran namun ia tidak sama dengan kes tertuduh.

“Saya turut membuat rujukan ke Mahkamah Syariah tetapi kebanyakan kes hanya melibatkan persetubuhan di luar nikah dan khalwat,” kata Timbalan Pendakwa Raya yang turut memohon maaf kerana contoh kes yang dikemukakannya itu tidak dapat membantu mahkamah dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Sementara itu, doktor pakar patologi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang dipanggil untuk memberikan keterangan memberitahu mahkamah bahawa tidak mungkin janin itu meninggal empat bulan lalu ketika masih dalam kandungan, kerana semasa dilahirkan, janin itu kelihatan masih segar dan baru.

Tertuduh sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa dia tidak merasa sebarang pergerakan dan beranggapan anaknya sudah meninggal.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas janin itu turut mendapati anak damit itu membesar antara 24 hingga 26 minggu, dan kelahirannya adalah akibat pengguguran, kata doktor itu.

Tertuduh, sambil mengesat air matanya, memberitahu mahkamah, anak damitnya masih hidup ketika dilahirkan kerana dia terdengar tangisan anaknya.

Kertas pertuduhan menyebut, pada malam 31 Ogos, tertuduh telah membeli pil untuk tujuan menggugurkan anak yang dikandungkannya. Sekitar jam 7 malam keesokan harinya, tertuduh melahirkan anak damit lelaki.

Tertuduh kemudian menghubungi bekas tunangnya yang juga ayah kepada anak damit tersebut, untuk memaklumkan mengenai kelahiran itu, dan meminta bantuan untuk membawanya dan juga anaknya ke Hospital RIPAS.

Tertuduh sebelum ini pernah mengambil pil yang sama untuk menggugurkan kandungannya kali kedua pada awal tahun 2015.

Kes tertuduh disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, dan didakwa mengikut Seksyen 312 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

ARTIKEL YANG SAMA