Gula-gula beracun ragut 33 kanak-kanak di Pakistan

Gula-gula beracun ragut 33 kanak-kanak di Pakistan

MULTAN, Pakistan, 2 Mei (AFP) – Kira-kira 33 orang termasuk lima kanak-kanak telah meninggal dunia di tengah Pakistan setelah memakan gula-gula yang secara tidak sengaja dicemari dengan racun serangga, kata pegawai semalam.

Keracunan beramai-ramai itu berlaku di kawasan Karor Lal Esan wilayah Punjab pada bulan lalu, “Jumlah kematian akibat keracunan gula-gula telah meningkat kepada 33 dan 13 mangsa lain masih berada di hospital,” beritahu ketua polis daerah Muhammad Ali Zia kepada AFP.

Penduduk tempatan Umar Hayat membeli gula-gula berkenaan pada 17 April untuk diedar di kalangan kawan dan keluarga untuk merai kelahiran cucu lelakinya. Namun kegembiraan mereka tidak kekal lama apabila sepuluh orang meninggal dunia pada hari yang sama.

Penyiasat polis Haji Mohammad Akhtar memberitahu AFP bahawa dua pemilik kedai gula-gula dan seorang pekerja yang ditahan selepas kejadian akan dibawa ke mahkamah pada hari ini.

Akhtar berkata satu pemeriksaan kimia telah menunjukkan kehadiran racun perosak pertanian dalam gula-gula, yang telah dimakan oleh 52 orang.

Polis sedang menyiasat bagaimana bahan kimia boleh berada dalam proses persediaan gula-gula, kata beliau.

Polis pada minggu lalu berkata pekerja berkenaan mungkin secara tidak sengaja menambah racun perosak dalam campuran gula-gula memandangkan terdapatnya sebuah kedai racun perosak berhampiran yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian, dan pemilik telah meninggalkan produknya disimpan di kedai gula-gula itu.

Pegawai berkata mangsa yang meninggal dunia termasuk bapa anak damit lelaki dan enam bapa saudaranya dan seorang ibu saudara.

Pakistan mempunyai standard keselamatan makanan yang lemah dan undang-undang kebersihan jarang dilaksanakan.

ARTIKEL YANG SAMA