Guna aplikasi sosial promosi pelancongan

Guna aplikasi sosial promosi pelancongan

SIBU, 22 Dis (Bernama) – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan menekankan penggunaan applikasi sosial di dalam mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.

Penolong Pengurus Komunikasinya Kevin Nila Nangai berkata, jumlah pengguna telefon pintar di dunia sekarang adalah tinggi dan menggunakan pelbagai jenis aplikasi sosial untuk berinteraksi dengan orang lain.

“Kaedah mempromosikan pelancongan di negeri ini menggunakan aplikasi sosial dilihat lebih efisien dan murah berbanding dengan penggunaan bahan bercetak,” katanya.

Sebagai contoh katanya, seseorang hanya perlu mengambil gambar dan memuat naiknya ke aplikasi sosial serta menggunakan ‘hashtag’ agar dapat dilihat atau disebarkan dalam kalangan pengguna aplikasi berkenaan.

Ditemui semasa Jamuan Tengah Hari Apresiasi Media di sini hari ini beliau berkata, ramai dalam kalangan pelancong menggunakan aplikasi seperti Twitter, Instagram, Foursquare untuk memuatkan naik gambar lokasi yang dilawati mereka. Ditanya mengenai prospek mural sebagai produk pelancongan Kevin berkata, ia mampu menarik peminat-peminat seni dari seluruh dunia dan telah digunakan di kebanyakan negara untuk menarik pelancong.

“Pelukis-pelukis mural terkenal dunia mempunyai pengikut mereka sendiri dan akan mengikuti mereka ke mana sahaja mereka melukis. Sekiranya mereka melukis mural di sini, mungkin ramai peminat mereka akan datang untuk melihat lukisan itu,” katanya.

Lukisan mural yang menggambarkan kebudayaan setempat sangat wajar diadakan di sesebuah bandar namun Kevin mengingatkan lukisan mural yang terlalu banyak juga tidak baik untuk sesebuah bandar.

“Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan tempatan sesebuah bandar ialah mengadakan beberapa tempat strategik untuk dijadikan kanvas lukisan mural. Selepas beberapa ketika lukisan itu dipadam dan digantikan dengan lukisan baharu seperti yang dilakukan di Singapura,” katanya.

Tambahnya, lukisan mural adalah pelbagai namun yang paling menarik adalah mural yang menggambarkan kebudayaan dan sejarah di sesuatu tempat itu.