Guna bakat jana pendapatan

Guna bakat jana pendapatan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Setiap individu mempunyai minat dan kemahirannya tersendiri dan tidak semua orang ada mempunyai kualiti potensi diri yang sama yang diperlukan untuk memulakan perniagaan.

Tetapi dengan cara pemikiran yang matang, hati yang kuat serta dorongan dan sokongan daripada orang yang tersayang seperti keluarga dan kawan, memulakan perniagaan boleh menjadi sesuatu perkara yang terbaik bagi seseorang.

Itulah yang terjadi kepada pemilik bersama, Auji Design yang mempunyai slogan ‘Keep Inspired!’, Awangku Muhammad Fakhrullah bin Pengiran Hamdillah dan Nurul ‘Afifah @ Auji binti Arashid.

Dengan minat dan bakat dalam kesenian, Awangku Muhammad Fakhrullah bersama rakannya telah membuka syarikatnya sendiri, Auji Design, yang memberikan perkhidmatan dalam reka bentuk kaligrafi Jawi serta grafik-grafik lain untuk logo dan pelekat (stiker), serta penyuntingan video.

Menurut beliau, Auji Design ditubuhkan pada bukan Oktober tahun lalu bagi menawarkan perkhidmatan dan produk yang berkualiti terutama dalam kaligrafi Jawi untuk memenuhi permintaan pelanggan mereka.

Awangku Muhammad Fakhrullah mengetengahkan hasil seni kaligrafi jawi yang dihasilkan oleh syarikat beliau.
Awangku Muhammad Fakhrullah mengetengahkan hasil seni kaligrafi jawi yang dihasilkan oleh syarikat beliau.

Beliau semasa ditemui Media Permata, menjelaskan para pelanggan sering kali meminta ayat-ayat suci Al-Quran atau Hadis dan juga nama mereka untuk dibuat di dalam kaligrafi Jawi mengikut reka bentuk yang mereka inginkan seperti dalam bentuk masjid dan sebagainya.

Buat masa ini, syarikat tersebut beroperasi di rumah beliau sendiri di Kampung Jerudong dan bagi mana-mana pelanggan yang inginkan perkhidmatan mereka bolehlah melayari laman Facebook mereka di Auji Design atau melalui media sosial Instagram, @aujidesign.

Menurut Awangku Muhammad Fakhrullah, penubuhan Syarikat Auji Design adalah merupakan sokongan dan dorongan daripada kawan-kawannya sendiri dengan menggunakan bakat yang mereka ada untuk menjana pendapatan sendiri.

Beliau sangat bersyukur kerana dapat memulakan perniagaan sendiri walaupun ia merupakan perjalanan yang mencabar kerana beliau dan rakannya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang keusahawanan.

Dengan bantuan Darussalam Enterprise (DARe), syarikat beliau kini telah dilesenkan dan berdaftar secara rasmi di bawah Kementerian Kewangan.

Baru-baru ini DARe telah mengalu-alukan beliau untuk menyertai ‘DARe SME Dialogue on Youth Entrepreneurship’ dan sesi dialog itu memberikan beliau harapan untuk memahami lebih mendalam mengenai dengan bidang keusahawanan dan cara-cara untuk berkembang sebagai sebuah syarikat yang masih baru.

Awangku Muhammad Fakhrullah merupakan graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan mempunyai sijil Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) dalam Pengajaran Pengajian Islam serta mahir dalam bidang ICT bagi pendidikan Islam.

Beliau pada masa ini bekerja sebagai fasilitator program di Bricks 4 Kids dan pada masa yang sama mempunyai kerja sampingan sebagai seorang guru di sebuah sekolah tuisyen.

Beliau berharap agar syarikatnya pada masa akan datang dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi dalam usaha untuk menstabilkan syarikat mereka dan berharap agar Syarikat Auji Design dikenali bukan sahaja dalam negeri malah di luar negara pada suatu masa nanti.

Sementara itu, DARe dalam satu kenyataan hari ini berkata, mana-mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau syarikat startups dan juga individu yang berminat untuk memulakan perniagaan, bolehlah mendapatkan bantuan daripada DARe dengan menggunakan kemudahan yang disediakan kepada para PKS sama ada melalui Akademi Industri Perniagaan, DARe’s Business Helpdesk atau Business Advisory Services.